Dengan populariti Isuzu yang semakin meningkat, sebuah cawangan pengedar 3S Isuzu terbaru di Taiping dilantik untuk menawarkan lebih banyak kemudahan kepada pelanggan dan perniagaan di sekitar daerah Matang.

Cawangan yang dikendalikan oleh GB Motors itu terletak di kawasan yang strategik di sepanjang Jalan Simpang, berdekatan dengan jalan utama menuju bandar Taiping.

Menduduki kawasan berkeluasan 5,300 meter persegi, cawangan baru ini direka untuk menawarkan keseluruhan perkhidmatan, dari jualan hingga lepas jualan, bagi semua barisan model Isuzu, bermula dengan D-Max hinggalah kepada trak tugasan sederhana dan berat.


Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura berkata, pihaknya rasa berbesar hati untuk mengalu-alukan Kumpulan Goh Brothers ke dalam keluarga Isuzu dan yakin dengan cara pengurusan syarikat itu serta perancangan yang berkesan, mereka akan menjadi aset penting kepada jenama Isuzu.

"Sebagai satu daripada rangkaian jualan automotif yang mandiri sejak 25 tahun lalu dan sudah memberikan pengalaman positif di kawasan sekitarnya, saya percaya bahawa cawangan baru Goh Brothers ini akan menawarkan perkhidmatan profesional yang cemerlang dan memainkan peranan penting dalam membangunkan perniagaan Isuzu,” katanya.


Dengan binaan bangunan berkeluasan 1,400 meter persegi, cawangan GB Motors terbaru ini menempatkan bilik pameran yang besar untuk pengunjung, sementara ruang menunggu selesa juga disediakan.

Bagi meraikan perlantikan sebagai pusat 3S sah Isuzu, GB Motors akan mengadakan kempen pandu uji selama sebulan bermula 24 Oktober hingga 23 November 2020 ini, di mana 100 pelanggan pertama yang memandu uji mana-mana model Isuzu di bilik pameran berkenaan akan menerima hadiah cenderahati misteri.

Sila layari Facebook Goh Brothers di @IsuzuGB untuk maklumat kempen ini.