PANDU UJI
Isuzu D-Max 1.9 liter Ddi Blue Power - Persoalannya adakah ia memiliki kuasa serta prestasi yang cukup?
Bila penulis menerima jemputan daripada Isuzu Malaysia untuk menyertai sesi pandu uji Isuzu D-Max 1.9 liter Ddi Blue Power dari Krabi ke Phuket, Thailand, baru-baru ini.
Banyak persoalan bermain di fikiran penulis, sama ada trak pikap itu mempunyai kuasa atau tork yang mencukupi bagi keperluan penggunanya.

Maklumlah, sebelum ini Isuzu D-Max menggunakan enjin 2.5 liter, tiba-tiba ia didatangkan dengan rangkaian kuasa 1.9 liter iaitu 0.6 liter berkurangan dari segi kapasitinya.
Jika melihat trend semasa dalam dunia automotif, sebenarnya sudah banyak pengeluar kenderaan global membina atau mencipta enjin bersaiz kecil. Ia semata-mata untuk memberi tahap penjimatan minyak yang terbaik, tetapi pada masa sama tidak mengorbankan berhubung prestasi.
Mungkin konsep itu juga yang digunakan Isuzu Motors, sebagai pelopor di dalam pembangunan enjin diesel pada peringkat global.

Adakah kuasa mencukupi?
Berbalik kepada prestasi dan kuasa, secara jujurnya penulis boleh katakan ia semakin ‘sedap’ berbanding enjin 2.5 liter. Ketika melalui kawasan berbukit, kuasa dari enjin 1.9 liter Ddi Blue Power ini tidak sedikit pun kedekut untuk menyalurkan tenaga bagi memberi pemanduan yang lebih lancar.
Untuk memotong kenderaan lain, sebaik menekan padel minyak ternyata ia memberi prestasi yang mencukupi, sekali gus membuatkan penulis cukup yakin dengannya.

Pada masa sama, prestasinya itu diperkuatkan dengan transmisi enam kelajuan automatik baharu. Kotak gear berkenaan menawarkan nisbah yang lebih rapat untuk rasa pemanduan yang lebih maklum balas, terutamanya bagi julat kelajuan pertengahan.
Bagaimanapun, pikap trak ini bukannya jentera berprestasi tetapi kuasa yang dibekalkan itu sudah cukup untuk gaya pemanduan penulis yang biasa atau santai dalam kelajuan purata antara 100 sehingga 120 kilometer sejam (km/j).

Pengendaliannya, adakah berbeza dengan versi enjin 2.5 liter?
Trak pikap ini sebenarnya lebih ringan 56 kilogram berbanding versi enjin 2.5 liter (4JK1) berbanding sebelumnya. Jadi pengendaliannya juga ada sedikit perubahan dimana ia lebih baik berbanding enjin 2.5 liter. Cuma penulis yang boleh katakan, ia tidak terlalu banyak perbezaan, tetapi masih cekap dan jitu untuk memasuki selekoh dengan tepat.

Apakah kelebihan enjin ini?
Jika anda bertanya soalan ini, penulis boleh beri beberapa jawapan yang cukup menyakinkan sekali gus boleh membuatkan anda tertarik untuk memiliki Isuzu D-Max 1.9 liter Ddi Blue Power.
Bagi memudahkan anda, penulis senaraikan tujuh kelebihannya membabitkan:
- Enjin 1.9 liter sebenarnya lebih berkuasa daripada enjin 2.5 liter dengan peningkatan sehingga 10 peratus bagi kuasa enjin (150 PS), manakala sembilan peratus lebih tork dengan janaan 350 Nm. Spesifikasi enjin 2.5 liter pula menyalurkan 136PS dengan 320Nm tork.
- Unit enjin RZ4E baru sebenarnya kurang 37 peratus bagi kehilangan tenaga mekanikal melalui pengurangan geseran komponen dalaman.
- Ia juga dilengkapi dengan sistem Kitaran Semula Gas Ekzos (EGR) dan penapis minyak eco, enjin ini mampu memberikan penambahbaikan dari sudut kecekapan bahan api sehingga 19 peratus berdasarkan ujian yang dijalankan di Thailand; pembebasan C02 dan N0x juga lebih rendah.
- Dengan mengurangkan geseran dalaman ia sekali gus membuatkan komponen tahan lebih lama.
- Komponen bertekanan tinggi seperti penyuntik, con-rod, pelaras injap, blok silinder dan head juga direka semula serta diperkukuh sekali gus mengurangkan kos selenggara.
- Berikutan pembaharuan pada enjin, ruang kabinnya juga lebih senyap dengan bacaan 55.1dB berbanding 58.6dB untuk versi 2.5 liter.
- Selain enjin, perkara yang paling menarik adalah kos cukai jalan tahunan, dengan kapasiti kurang 2.0 liter anda boleh jimat sehingga RM400 bagi kenderaan di Semenanjung Malaysia. Kini cukai jalan bagi jentera ini hanya RM399 sahaja.

Tahap penjimatan minyak?
Jika berbicara berhubung jimat minyak, anda sebenarnya tidak perlu sangsi atau ragu-ragu. Sebelum ini, Isuzu D-Max dengan enjin 2.5 liter pernah dipandu dari Bangkok, Thailand ke Singapura menggunakan satu tangki sahaja.
Bagi pengalaman penulis pula, ketika sesi pandu uji dari Krabi ke Phuket dengan jarak kira-kira 200 kilometer, hanya tiga daripada 16 tanda yang digunakan dan ia tidak sampai suku tangki bahan api. Gaya pemanduan pula adalah biasa dengan kelajuan antara 100 sehingga 120 kilometer sejam.
Untuk melihat lebih jelas ciri baharu pada Isuzu D-Max 1.9 liter Ddi Blue Power ini, anda boleh tonton video di bawah:
Must-Watch Video