Isuzu D-Max 1.9 Blue Power - Lebih jimat minyak, prestasi pun bagus!
Selepas empat tahun diperkenalkan di Thailand, kini giliran Malaysia pula untuk membawa masuk pikap trak Isuzu D-Max versi enjin 1.9 liter Ddi Blue Power.
Biarpun agak lama untuk tiba di negara ini, kehadiran kenderaan itu sebenarnya membawa satu perubahan baharu dalam segmen pikap trak di Malaysia.
Isuzu D-Max 1.9 liter Ddi Blue Power ini boleh dikatakan pikap trak yang pertama di Malaysia menggunakan enjin berkapasiti di bawah 2.0 liter. Enjin berkapasiti kecil itu sebenarnya banyak memberi kelebihan iaitu dari segi penjimatan terutama dalam mengurangkan pembelanjaan anda seharian.
- Cukai jalan yang lebih murah dengan penjimat sehingga 52 peratus iaitu RM440 bagi Semenanjung Malaysia
- Kos kurang kos penyelenggaraan
- Jimat minyak sehingga 19 peratus
Biarpun ia menggunakan enjin lebih kecil, prestasinya adalah lebih baik berbanding enjin 2.5 liter versi sebelum ini. Enjin itu menyalurkan kuasa maksimum sehingga 150 PS dan 350 Nm, manakala enjin 2.5 liter hanya menghasilkan 136PS serta 320Nm. Ini bermakna, kuasanya bagi enjin ini meningkat sehingga 14PS serta 30Nm bagi kuasa torknya.
- Kurang C02
- Kurang berat
- Kurang geseran
- Kurang bising
- Kurang kos penyelenggaraan
Sebahagian besar peningkatan prestasi enjin berkenaan diperoleh daripada pendekatan baru dalam rekaan, yang antaranya membabitkan rekaan kebuk pembakaran baru, pengecas turbo VGS berkecekapan tinggi, geseran antara komponen enjin yang lebih rendah serta penyuntik bahan api yang lebih tepat dari sistem commonrail bertekanan tinggi.
Unit enjin RZ4E itu memperlihatkan pengurangan 37 peratus bagi kehilangan tenaga mekanikal melalui pengurangan geseran komponen dalaman.
Dengan mengurangkan geseran dalaman, Isuzu juga memastikan komponen tahan lebih lama. Komponen bertekanan tinggi seperti penyuntik, con-rod, pelaras injap, blok silinder serta head sudah direka semula dan diperkukuh untuk memastikan prestasi serta daya tahannya bertambah sekaligus mengurangkan kos selenggara.
Sistem suntikan commonrail baru pula diperkemas untuk menyediakan atomisasi bahan api yang lebih baik, membolehkan jumlah suntikan yang lebih terperinci. Hasilnya, pembakaran menjadi lebih bersih, menjimatkan minyak, prestasi enjin menjadi lebih baik, pembebasan ekzos lebih rendah dan juga pengurangan gegaran serta bunyi bising.