Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power - Enjin lebih kuasa, harga murah!

Erywan
18/09/2019 08:56 MYT
Akhirnya, Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power yang mempunyai kelebihan dari segi penjimatan minyak serta pembebasan karbon dioksida lebih rendah dilancarkan bagi pasaran Malaysia.

Ia juga menjadi pikap trak pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) selari di bawah Peraturan 101 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

Tarikan utama pada Isuzu D-Max baru ini tentulah unit enjin 1,898 cc RZ4E-TC selepas dibangunkan dalam tempoh empat tahun oleh Isuzu Motors Jepun.



Enjin itu menyalurkan 150PS pada 3,600 rpm (naik 10 peratus) dan 350Nm tork (naik 9 peratus) antara 1,800 dan 2,600 rpm berbanding unit 2.5 liter 4JK1-TCX sebelum ini.

Ujian yang dijalankan di Thailand menunjukkan peningkatan 19 peratus bagi penjimatan penggunaan bahan api. Dalam masa sama, enjin ini juga memberikan 37 peratus kurang geseran antara komponen dalaman sekali gus memanjangkan lagi jangka hayatnya serta mengurangkan kehausan pada alatan terbabit.

Enjin RZ4E itu digandingkan dengan sistem transmisi baru, yang membolehkannya menawarkan tahap prestasi yang lebih baik berbanding unit 2.5 liter sebelum ini.



Dengan kotak gear enam-kelajuan bagi kedua-dua jenis automatik dan manual, Isuzu D-Max baru meluncur dengan lebih pantas dan mudah untuk memotong, dan dalam masa yang sama memberikan lebih banyak keselesaan.

Isuzu D-Max baharu tidak hanya menawarkan dinamik pemanduan yang lebih baik berbanding sebelumnya; aspek penampilannya juga menerima pembaharuan. Pada masa sama, ditawarkan dengan pilihan warna baru termasuk Sapphire Blue, Red Spinel, Stallion Black, Titan Silver, Silky White Pearl dan Magnum White.



Bahagian depan, rekaan jeriji dengan gandingan kemasan hitam dan krom kini dilanjutkan sehingga ke lampu utama yang menggunakan unit jenis projektor LED serta lampu siang LED.

Capahan cahayanya juga boleh dilaraskan oleh pemandu untuk mengelakkan silau terhadap kenderaan dari arah bertentangan. Bahagian bampar melengkapkan lagi penampilan baru ini dengan rekaan dan kemasan baru di sekeliling lampu kabus.



Selain daripada kemasan pelekat baru pada badan, Isuzu D-Max turut menggunakan rekaan rim 18 inci baru yang menjadikannya tampil lebih sporty. Selain itu, cermin sisi juga akan terlipat secara automatik setiap kali kenderaan dikunci.

Bagi memudahkan pemunggahan barang, Isuzu memperkenalkan ciri pintu ringan bagi ruang barangan di belakang sebagai ciri pilihan. Mekanisme berkenaan menggunakan sebuah strut untuk mengawal laju pergerakan pintu, sementara sebuah palang torsion membolehkannya dikendalikan dengan lebih mudah, walau hanya dengan satu jari.



Bagi membolehkan pengguna benar-benar menghargai kelebihan pengurangan bunyi kebisingan enjin sehingga enam peratus yang dapat dicapai melalui enjin baru ini berbanding enjin 2.5 liter yang digantikannya, jurutera Isuzu menjadikan ruang dalaman trak ini lebih selesa dan kemas, antaranya melalui penggunaan material lembut di beberapa bahagian panel sedia ada.

Pada masa sama, ruang kebin lebih selesa dan menawan, tambahan bila digandingkan bersama kerusi balutan gabungan kulit dan fabrik. Ia juga dilengkapi dua port USB di hadapan, manakala satu di belakang.



Isuzu D-Max turut didatangkan kawalan menuruni curam (Hill Descent Control, HDC), menjadikan situasi menuruni bukit dengan permukaan licin lebih meyakinkan. Satu lagi ciri baru ialah Vehicle Launch Assist Control yang meningkatkan tahap tork pada kedudukan curam 25 peratus atau lebih.

Melalui ciri ini, kenderaan akan bermula dengan lonjakan dengan lebih cepat ketika berada dalam keadaan tidak rata atau mendaki seperti itu, tanpa ada kelengahan turbo lag ketika ingin memulakan pergerakan dari keadaan pegun.



Sempena pengenalannya, Isuzu Malaysia menganjurkan kempen pandu uji di semua cawangan pengedarnya di mana hadiah misteri menunggu pengunjung yang memandu uji Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power, bermula dari 21 September 2019 hingga 31 Oktober 2019. Mereka juga akan menerima tiket penyertaan cabutan bertuah Blue Fever yang akan diadakan di penghujung tempoh promosi berkenaan.

Mereka yang membeli Isuzu D-Max baru mulai hari ini hingga 31 Oktober juga akan menikmati jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan istimewa serta pakej penyelenggaraan percuma untuk tempoh lapan tahun akan datang, tertakluk kepada terma dan syarat.



Harganya pula, Isuzu D-Max lebih murah sehingga RM4,000 bagi versi premium, Type-B (pengurangan antara RM2,000 sehingga RM6,000) dan Single Cab (pengurangan RM1,000 sehingga RM2,000).

Isuzu D-Max mengikut varian serta harga atas jalan pendaftaran individu:

  1. Isuzu D-Max 1.9L 4X2 MT Low-Ride-RM80,149
  2. Isuzu D-Max 1.9L 4X2 MT Hi-Ride - RM86,699
  3. Isuzu D-Max 1.9L 4X4 MT Type B - RM96,699
  4. Isuzu D-Max 1.9L 4X4 MT-P - RM105,999
  5. Isuzu D-Max 3.0L 4X4 MT Type B - RM106,738
  6. Isuzu D-Max 1.9L 4X4 AT Type B - RM104,599
  7. Isuzu D-Max 1.9L 4X2 AT Hi-Ride - RM100,049
  8. Isuzu D-Max 1.9L 4X4 AT-P - RM115,799
  9. Isuzu D-Max 3.0L 4X4 AT-P - RM 120,838
  10. Isuzu D-Max 1.9L 4X4 Single Cab - RM 85,799
  11. Isuzu D-Max 3.0L 4X4 Singel Cab - RM92,838

;