Tempatan

Isuzu D-Max Kini Ada Varian Baru 4X2 Auto, Sesuai Yang Jarang Guna Pacuan Empat Roda

gempak
Erywan
13/10/2021
06:38 MYT
Sponsor Banner
Isuzu D-Max Kini Ada Varian Baru 4X2 Auto, Sesuai Yang Jarang Guna Pacuan Empat Roda
Sebelum ini, trak pikap sangat sinonim dengan kebisingan, asap tebal serta kabin yang tidak selesa. Keadaan seperti itu sebenarnya sudah lama ditangani oleh pengeluar seperti Isuzu yang banyak melabur untuk membangunkan sebuah trak pikap yang menawarkan tahap keselesaan lebih tinggi, canggih dan selesa tanpa perlu mengorbankan kekuatan terasnya.
Generasi ketiga Isuzu D-Max serba baru adalah cerminan paling sempurna terhadap kemajuan yang dimaksudkan itu. Ia berkembang menjadi sebuah trak pikap yang menonjol, bergaya dan maju, sekali gus menyanggah pemahaman biasa terhadap jenis kenderaan ini.
Bagi memberi pilihan, Isuzu Malaysia memperluaskan lagi pilihan Isuzu D-Max sedia ada dengan memperkenalkan varian terbaru dengan pacuan 4x2; Isuzu D-Max Auto Plus 4x2 1.9L. Dengan hanya 28 peratus pengguna trak pikap di Malaysia yang kerap menggunakan sistem 4x4 pada kenderaan mereka, varian 4x2 ini adalah varian paling ideal yang menawarkan rintangan golekan yang rendah berbanding sistem pacuan yang lebih ringkas.
Dengan menggugurkan transfer case, differential depan dan sistem pacuan sampingan, D-Max Auto Plus 4x2 1.9L hanya mempunyai berat 1,830 kg, pengurangan 85 kg berbanding model pacuan 4x4 biasa. Dengan spesifikasi yang sama seperti varian D-Max Standard 4x4 1.9L Auto, D-Max Auto Plus 4x2 1.9L dikuasakan oleh enjin RZ4E-TC 1.9 liter yang menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800-2,600 rpm.
Enjin itu menerima pengiktirafan global untuk prestasinya walaupun dalam kapasiti yang kecil, menghantar kuasa ke roda belakang melalui kotak gear automatik enam-kelajuan. Nisbahnya sama seperti varian 4x4 dan dipadankan dengan teliti untuk menepati karekteristik prestasi dinamik enjinnya.
Dengan memanfaatkan Isuzu Dynamic Drive Platform, Isuzu D-Max Plus 4x2 baru ini memberikan kestabilan menakjubkan. Bagi mendapatkan kemampuan tampungan beban yang baik untuk varian ini, kadar tetapan suspensi standardnya menggunakan jenis double wishbone di depan dan jenis 3-leaf semi-elliptical spring di belakang.
Untuk memberi lebih prestasi dinamik dan keyakinan pemanduan, Isuzu D-Max Plus 4x2 1.9L turut dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan elektronik seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Bantuan Menuruni Curam (HDC) dan Sistem Override Brek (BOS). Gabungan bantuan elektronik maju ini dengan struktur badan dengan kejuruteraan jitu telah membolehkan Isuzu D-Max meraih penarafan lima-bintang ASEAN NCAP, menjadikannya antara trak pikap paling selamat dalam pasaran ketika ini.
Luaran Isuzu D-Max Auto Plus 4x2 1.9L ini mewarisi penampilan dinamik model Isuzu D-Max generasi ketiga kabin berkembar. Denga gaya dan ketegapannya, varian ini menerima gril kelabu kesat, lampu utama projektor Bi-LED dengan DRL LED serta lampu kabus bersepadu di bucu bampar.
Model dengan kedudukan tinggi ini menggunakan rim aloi 17-inci dengan tayar radial 255/65 R17 HT yang menawarkan pemanduan mantap dan tahan lasak. Bahagian sisinya diserikan dengan pelekat hiasan “4x2 Auto Plus” untuk membezakan antara varian 4x4 dan 4x2. Kamera undur yang dipasangkan pada pemegang pintu ruang belakang juga kelihatan pada varian 4x2.
Bahagian dalaman, D-Max Auto Plus 4x2 1.9L didatangkan dengan kerusi fabrik yang tahan lasak dan mudah dibersihkan. Kerusi berkenaan juga direka untuk memberi sokongan dan keselesaan optimum untuk perjalanan jauh. Kerusi pemandunya boleh dilaras enam-arah secara manual.
Ia juga dipadankan stereng balutan kulit boleh dilaras atas-bawah dan jaraknya daripada pemandu. Butang kawalan juga tersedia untuk memudahkan kawalan audio dan telefon serta untuk mengalih paparan MID pada panel instrumen 4.2-inci berwarna.
Panel instrumen berkenaan menampilkan paparan e-LUMAX yang mudah dibaca dalam keadaan pencahayaan apa pun, serta memberikan maklumat komprehensif di hujung jari. Paparannya boleh dimalapkan untuk melaraskan lampu ambient.
Di konsol tengah terletak pula sistem multimedia tujuh-inci dengan skrin sentuh. Ini menawarkan pilihan ketersambungan termasuk USB, Bluetooth, WiFi, MirrorLink, Miracast, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, dan sistem ini menawarkan hiburan tanpa had melalui enam-pembesar suaranya.
Ia ditawarkan dengan lima pilihan warna Splash White Solid, Mercury Silver Metallic, Onyx Black Mica, Sapphire Blue Mica dan Valencia Orange Metallic. Harganya pula, ia dijual pada RM100,999.20 atas jalan tidak termasuk insurans. Ia boleh ditempah dan penghantaran akan dilakukan awal bulan November 2021.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live