Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Isuzu D-Max Serba Baharu Lancar Secara Rasmi - X-Terrain Varian Flagship Harga RM141,938

Erywan
16/04/2021 08:02 MYT
Selepas dibuka tempahan awal bulan ini, akhirnya generasi ketiga Isuzu D-Max serba baharu dilancarkan secara rasminya buat pasaran Malaysia. Isuzu D-Max serba baru dibangunkan secara menyeluruh untuk melangkaui kebiasaan yang ditawarkan pada trak pikap. Ia juga direka untuk jadi lebih menonjol dan sporty.


Ia menampilkan imej jalanan lebih kental, dengan wajah depan maskulin serta garis badan yang berperanan menjadikan imejnya makin dinamik dan tegap. Ditawarkan dengan tujuh varian dari single cab atau double cab serta dua pilihan enjin RZ-4E 1.9 liter atau 4JJ-3TCX 3 liter yang dipertingkatkan. Harganya pula bermula RM88,599 sehingga RM141,938.


Seperti jenama lain, Isuzu juga mempunyai varian flagship atau spesifikasi tertinggi dalam keluarga pikap trak itu. Ia dikenali sebagai X-Terrain. Varian tertinggi ini, boleh menjadi kunci kejayaan D-Max generasi baharu untuk kekal releven sebagai trak pikap yang boleh dipercayai dan tahan lasak.


Biarpun dimensi sama dengan varian sebelum ini, jarak rodanya dipertingkatkan sehingga 30mm, bonetnya lebih tinggi 15mm, ambang pintu naik 20mm dan bumbung direndahkan sehingga 10mm untuk membuatkan profile sporty.


Dari segi reka bentuknya, D-Max tampak lebih maskulin dengan kehadiran jeriji radiator yang besar serta di bahagian tepi pula dipadankan lampu utama yang sedikit nipis berbanding generasi sebelum ini. Ia juga diperkuatkan lagi dengan penggunaan bonet berbentuk V untuk membuatkan ia kelihatan tajam.


Bampar hadapannya yang tampak agresif itu turut memberi aliran udara terbaik serta daya geseran angin yang minimum. Bagi meningkatkan aerodinamik dan penglihatan ketika memandu, bilah pengilap cermin hadapan aerofil turut dilengkapi saluran air untuk mencuci kotoran secara manual atau automatik. Cermin hadapan itu juga mempunyai lapisan untuk mengurangkan sinaran UVA dan UVB, selain mampu mengurangkan kepanasan serta memberi pelindungan kepada komponen dalaman kabin.


Ruang dalamannya cukup berbeza, ini kerana konsul tengah ditinggikan sehingga 80mm dan lebar 30mm. Papan pemukannya juga diperkemaskan dengan material lembut untuk tampak elegan dan premium. Sistem hiburan, memang cukup sedap didengar selepas mempunyai 8 pembesar suara dengan paparan skrin sesentuh bersaiz 7 inci yang boleh disambung menggunakan Apple CarPlay dan Android Auto.


Ruang kokpit, ada juga ciri baharu terutama pada meter kelajuannya dengan mempunyai ciri paparan TFT-LCD 4.2 inci. Pada masa, roda sterengnya juga lebih kecil sedikit berbanding model sebelumnya. Sekurang-kurangnya, memberi gaya pemanduan seperti kereta atau SUV dan bukannya sebuah lori.


Selain kerusi hadapan yang sudah selesa, tempat duduk belakangnya juga turut ditingkatkan untuk keselesaan optimum dan lebih lembut. Ia juga mempunyai Anti Vibration Elastic Comfort untuk mengurangkan rasa getaran berbanding kusyen konvensional.


Rangkaian kuasanya, varian X-Terrain hanya ditawarkan dengan pilihan enjin 3.0 liter yang sudah dinaik taraf. Enjin 4jj3-TCX itu kini lebih berkuasa, senyap, lebih cekap dan tahan lasak berbanding sebelumnya. Komponen baharu yang digunakan pada enjin itu membabitkan omboh dan reka bentuk kebuk pembakaran.


Kuasa yang dibekalkan boleh mencecah 190PS dengan 450Nm antara 1,600 sehingga 2,600rpm. Jadi prestasinya boleh dirasai lebih awal berbanding sebelum ini. Kuasa itu disalurkan ke kotak gear automatik enam kelajuan. Untuk menukar pacuan rodanya, ia kini lebih pantas berbanding sebelumnya. Penukaran 2H kepada 4H hanya 0.61 saat berbanding 1.94 saat.

Ketika musim banjir, D-Max ini sangat boleh dipercayai apabila ia boleh meredah laluan air sehingga 800mm . Bahagian bawah bampar hadapan juga mempunyai kepingan besi setebal 1.5mm untuk memberi pelindungan optimum, selain dilengkapi kepingan besi setebal 0.6 mm untuk melindungi enjin.


Pandangan Awal Penulis Ketika Menguji D-Max X-Terrain

Pada masa sama, penulis sempat menguji D-Max varian X-Terrain ini. Ternyata kuasanya yang dibekalkan sangat responsif dan tidak rasa kedekut lebih-lebih ketika menaiki bukit dan mahu memotong kenderaan lain.

Cuma jalan yang berselekoh, ia masih lagi mempunyai karakter sebuah pikap konvensional dan tidak sesuai sekiranya menyamai keupayaan seperti SUV. Ini kenderaan untuk off-road, bukannya untuk memandu di litar!

Ruang kabin pula, tidak ubah seperti memandu kenderaan mahal atau premium kerana kombinasi warna coklat yang boleh dilihat pada papan pemuka material lembut, panel pintu dan kerusi. Tempat duduknya juga memberi keselesaan yang menyeluruh sama ada di belakang atau di hadapan terutamanya pada bahagian bahu. Ternyata cukup selesa.


Ciri keselamatan, ini mungkin memberi satu kelebihan kepada D-Max X-Terrain. Ia mempunyai sistem Advanced Driver Assist System (ADAS) yang menggunakan kamera dan ia juga menerima lima-bintang bagi ASEAN NCAP 2020.

Kesimpulannya, penulis berpendapat D-Max X-Terrain ini sebuah pikap trak yang mempunyai rekaan yang cukup matang dan tidak cepat basi kerana bentuk tidak terlalu futuristik, itu adalah kelebihannya. Lagi satu, ia sebuah trak pikap yang cukup elegan yang sesuai dipandu golongan eksekutif untuk kegunaan harian ke pejabat pada hari biasa, manakala hujung minggu boleh beriadah di laluan off-road. Pakej lengkap, 2 dalam 1!

Harga Mengikut Varian D-Max

#Isuzu
;