Seramai tujuh penuntut Sekolah Teknik Isuzu (ITS) diraikan dalam majlis konvokesyen selepas menamatkan latihan dalam bidang servis dan penyelenggaraan kenderaan komersial.

Sejak empat tahun lalu, pusat latihan itu sudah pun melahirkan 21 graduasi dalam bidang operasi selepas jualan Isuzu.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura berkata, ITS adalah komited syarikat untuk menawarkan servis selepas jualan yang terbaik kepada pelanggan.

“Graduasi ITS didedahkan dengan menggunakan teknologi terkini dan juga latihan yang mana kemahiran mereka itu sangat diperlukan dalam industri,” katanya dalam Majlis Konvokesyen Ke Empat Isuzu di Sunway, hari ini.

Majlis itu dihadiri Ketua Pegawai Operasi Bahagian Selepas Jualan Isuzu Malaysia, Mitsuo Muto dan Ketua Penolong Pengarah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), Roslan Salim.

Pada masa sama, Isuzu Malaysia turut mengumumkan penuntut terbaik ITS iaitu Andrew Harrison Augustine dari Serian, Sarawak.

Semua penuntut menamatkan pengajian mereka selepas lapan bulan pengajian dengan belajar silibus daripada Training and Skills Development (TDS) Isuzu yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Bagi yang berminat untuk mengikuti pengajian itu, anda boleh melayari www.isuzu.net.my untuk keterangan lanjut.