Antarabangsa

Jaguar F-Pace SVR 2021 - Guna Enjin Supercharged 5.0 liter V8 Salur 550PS Dan 680Nm

gempak
Erywan
04/12/2020
06:31 MYT
Sponsor Banner
Jaguar F-Pace SVR 2021 - Guna Enjin Supercharged 5.0 liter V8 Salur 550PS Dan 680Nm
Selepas dua tahun berada dalam pasaran, SUV berprestasi tinggi keluaran Jaguar iaitu F-Pace SVR kini diberikan kemaskini yang meliputi aspek penampilan dan yang paling penting, prestasi.
Untuk model tahun 2021, enjin supercharged berkapasiti 5.0-liter V8 yang menguasakan F-Pace SVR kekal dengan kuasa berjumlah 550PS, namun tork meningkat dari 680Nm kepada 700Nm. Jaguar memadankan enjin terbabit dengan transmisi automatik lapan kelajuan jenis ‘torque converter’ dari XE SV Project 8 bagi menampung kuasa kilas yang lebih tinggi itu.
Dengan sistem pacuan semua roda Intelligent Driveline Dynamics dan fungsi Dynamic Launch, SUV ini boleh memecut dari 0 hingga 96km/j dalam hanya 3.8 saat, 0.3 saat lebih pantas berbanding sebelum ini. Bukan itu sahaja, kelajuan maksimum jentera itu turut menyaksikan peningkatan sebanyak 4km/j kepada 287km/j.
Selain enjin lebih berkuasa dan kotak gear baharu, F-Pace SVR turut mendapat penambahbaikan dalam aspek pengendalian. Ini termasuklah stereng bantuan kuasa elektronik (EPAS), serta talaan pada penyerap hentak dan ‘differential’ aktif yang dikawal secara elektronik pada gandar belakang.
Sistem brek yang merangkumi cakera berukuran 395mm di hadapan dan 396mm di belakang kini disokong oleh Integrated Power Booster. Hasilnya, jarak pergerakan pedal menjadi lebih pendek dan prestasi membrek secara umumnya menjadi lebih optimum.
Sekilas pandang, model facelift ini seperti tidak mempunyai sebarang perubahan reka bentuk. Namun jika diperhatikan dengan lebih teliti, lampu utamanya adalah lebih langsing, manakala bukaan lubang udara pada sudut kiri dan kanan bampar hadapan kini lebih besar. Ini bukan sahaja memberikannya imej yang lebih agresif, malah membantu menyejukkan brek dengan lebih cepat.
Di dalam, paparan infotainmen berukuran 10 inci pada model terdahulu digantikan dengan skrin 14 inci dengan perisian yang boleh dikemaskini secara atas udara (Over The Air). Selain itu, terdapat juga tuil gear dalam rekaan baharu, tempat duduk sport dengan sulaman logo SVR, paddle shifter aloi dan panel instrumen digital berukuran 12.3 inci. Untuk papan pemuka, pelanggan boleh memilih antara kemasan aluminium atau gentian karbon.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024