Jaguar tunjuk bakat hasil jentera rali
Public Anonymous User
13/11/2018 02:08 MYT
13/11/2018 02:08 MYT
Tahukah anda bahawa Jaguar mempunyai sejarah tersendiri dalam sukan rali? Dari tahun 1951 hingga 1953, jentera XK120 yang dikemudi oleh Ian Appleyard berjaya melengkapkan tiga Rali Alpine berturut-turut tanpa sebarang penalti, serta memenangi rali RAC dan Tulip.
Bagi meraikan kejayan itu serta ulang tahun ke-70 model berstatus lagenda, Jaguar menghasilkan dua unit jentera rali berasaskan model F-Type Convertible.
Dibina menurut spesifikasi FIA, kedua-duanya menampilkan modifikasi ala jentera rali sebenar seperti roll cage, kerusi lumba dengan abah-abah enam poin, pod lampu pada bahagian bonet serta pemadam api.
Dikuasakan oleh enjin Ingenium 2.0 liter empat silinder dengan 300PS, F-Type rali itu juga menerima penambahbaikan dari segi brek, casis dan pacuan.
Baca juga artikel lain:
Ia datang dalam bentuk cakera beralur dengan angkup empat omboh, peredam boleh laras tiga cara dengan gegelung lebih lembut serta gegalas sfera.
Selain itu, ia menggunakan rim spesifikasi motorsport, tayar gravel untuk permukaan berbatu kerikil, Limited Slip Differential untuk pecutan lebih berkesan serta brek tangan hidraulik bagi mengambil selekoh tajam dengan lebih mudah.
Kedua-dua jentera itu sudah melalui fasa ujian yang dilakukan di Walters Arena, South Wales.
Walaupun tidak akan digunakan untuk tujuan perlumbaan, F-Type Convertible versi rali ini akan membuat kemunculan di beberapa acara anjuran Jaguar dalam tempoh beberapa bulan akan datang.