Masih ingat pada model konsep Wrangler Rubicon 392 yang diperkenalkan pada Julai lalu? Seperti yang dijangka, Jeep telah menjadikannya sebagai model produksi bagi memenuhi permintaan peminat mereka.


Apa yang menarik, spesifikasi teknikal yang ditampilkan versi produksi ini tidak jauh berbeza, malah ada diantaranya lebih baik jika dibandingkan dengan model konsep. Apa yang dimaksudkan adalah kuasa yang dihasilkan oleh enjin HEMI 6.4-liter V8 meningkat dari 450hp dan 610Nm kepada 470hp dan 637Nm.


Menurut Jeep, jentera terbarunya ini boleh mencapai kelajuan 96km/j dari kedudukan pegun dalam 4.5 saat, manakala pecutan suku batu tidak kurang hebatnya untuk sebuah SUV off-road dengan catatan masa 13 saat. Pencapaian ini dilakukan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.


Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Wrangler Rubicon 392 dilengkapi dengan suspensi ‘lift kit’ Mopar yang menjadikannya dua inci lebih tinggi, penyerap hentak Fox, gandar hadapan dan belakang Dana 44, ‘transfer case’ Selec-Track dua kelajuan, serta ‘differential’ elektronik Tru-Lock. Kelengkapan lain seperti rel batu Rubicon, bampar keluli lengkap dengan takal Warn, serta pelindung bahagian bawah enjin (belly pan) turut disertakan.


Gabungan tayar lumpur 37 inci dan rim berukuran 17 inci secara tidak langsung memberikan jentera ini sudut pendekatan 44.5 darjah, sudut pelepasan 37.5 darjah dan sudut ‘breakover’ 22.6 darjah. Dengan jarak lega tanah berukuran 10.3 inci, ia boleh mengharungi air dengan kedalaman sehingga 32.5 inci.


Satu lagi kelebihan Wrangler Rubicon 392 adalah sistem ambilan udara tiga peringkat yang menampilkan laluan udara sekunder yang membolehkan enjinnya terus beroperasi walapun laluan udara utama dihalang oleh lumpur dan sebagainya.


Bukan itu sahaja, terdapat juga sistem ambilan udara Hydro-Guide yang berfungsi untuk menghalang air (sehingga 15 gelen per minit) daripada masuk ke dalam enjin. Menurut laporan, Jeep akan menghasilkan 392 unit model berprestasi tinggi ini. Harga masih belum diumumkan namun ia sudah pastinya akan menjadi varian termahal dalam barisan Wrangler.