Selalunya kalau kita dengar projek restorasi, ia akan membabitkan model kereta lama atau klasik supaya kelihatan baru seperti keluar daripada kilang.

Namun berbeza buat Ahmad Zulhelmi Ab Hamid, 30, apabila menjadikan Mitsubishi Evolution (Evo) III sebagai projek restorasi supaya kelihatan standard dan tidak terlalu agresif.

Buat pengetahuan anda, Ahmad Zulhelmi ini sememangnya peminat tegar kereta sport dan Mitsubishi Evolution III itu bukannya jentera pertamanya. Sebelum ini dia pernah memiliki Toyota Starlet GT, Subaru Impreza WRX STI S203, Daihatsu Charade Detomaso dan banyak lagi.

Pemilihan Mitsubishi Evo III kerana dia mahu jentera yang kurang bantuan komponen elektronik. Ini bermakna, pemanduan lebih kepada pengalaman yang mana ia lebih menyeronokkan kepada peminat tegar bagi kereta sport.

Berbalik kepada Mitsubishi Evolution III dalam paparan ini, jentera itu dimiliki pada awal tahun 2018 dengan keadaan yang kurang memuaskan hatinya.

Jadi pemiliknya memilih konsep JDM dan OEM atau lebih sesuai dikatakan jentera standard seperti keluar dari kilang. Ini kerana konsep itu mudah dijaga dan diselenggara dari segi kos serta penampilannya.

Apa yang boleh lihat, Mitsubishi Evolution III ini menggunakan kit badan standard Mitsubishi Evo III cuma diperkemaskan dengan rim TE37 warna gangsa.

Biarpun tampak standard, pilihan warna kuning membuatkannya lebih menyerlah dan menarik.

Bagi ruang dalaman, kerusi yang digunakan sebelum ini adalah daripada model Mitsubishi Evo IV dan membuatkan pemiliknya terpaksa mencari komponen asal untuk menyesuaikan konsep diidamkan.

Selepas semua komponen kembali kepada asal, stereng ditukar kepada Momo Race. Papan pemukanya kelihatan masih ‘suci’ kerana hanya diletak Defi ZD dan Defi Advance Boost Meter.

Berbeza pula dengan rangkaian kuasanya apabila dipertingkatkan beberapa produk berprestasi untuk meningkatkan output antara 40 sehingga 50hp berbanding asal.

Bahagian enjin itu ditambah Wastegate Tial 38mm, Blow-Off Sheep Dog dan pengatur bahan api Work. Bagi pembakaran dalam kebuk lebih sempurna, ia dilengkapi ECU daripada Mitsubishi Evo 9 dan menggunakan kabel palam pencucuh Ultra.

Kuasa daripada enjin itu disalurkan ke kotak gear yang menggunakan klac Trinity sebelum emisi pembakaran dalam kebuk disalurkan sistem ekzos FGK.

Sementara itu, Ahmad Zulhelmi berkata, kereta itu disiapkan dalam tempoh enam bulan untuk membuatkannya kelihatan seperti berkenaan.

Ketika ditanya apa keistimewaannya, dia memaklum bahawa Mitsubishi Evo III itu menjadi bahan rujukkan dan kegemaran bagi platform Proton Wira, Satria dan Putra.

Menurutnya, dia bercadang menjual jentera itu dengan harga RM75,000 kerana mahu melakukan projek baharu untuk restorasi Toyota AE86.