Berikutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan pada 5 Jun lalu bagi merangsang jualan kenderaan di sebalik pandemik COVID-19, jualan Perodua pada Jun 2020 dianggarkan sebanyak 21,250 kenderaan iaitu jualan bulanan tertinggi setakat tahun ini dan hampir tiga kali ganda jualan bulan lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, langkah kerajaan untuk mengecualikan cukai jualan mewujudkan banyak manfaat dengan harga Perodua berkurang antara 3 sehingga 6 peratus.

Kenaikan jualan kami akibat penurunan harga itu sekali gus turut membantu ekosistem pembekal dan pengedar pada masa yang sukar ini, selain pada Jun sahaja Perodua sudah membelanjakan hampir RM500 juta untuk membeli komponen tempatan,” katanya.

Sebelum ini, Perodua mencatatkan jualan 8,601 kenderaan pada Mac sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), membawa kepada penutupan operasinya selama dua bulan.

Perodua kembali beroperasi secara rasmi di seluruh negara pada 19 Mei dan berjaya menjual 7,886 kenderaan sebelum akhir bulan berkenaan. Jualan Perodua setakat tahun ini (YTD) kini berjumlah sekitar 74,000 unit.