Antarabangsa
Jualan PROTON Meningkat 8.8 Peratus pada 2020 berbanding 2019, Saga Kekal Sebagai Penjual Utama
Selepas melalui tahun yang penuh cabaran, PROTON mengakhiri 2020 dengan peningkatan penjualan berbanding prestasi pada tahun 2019.
Walaupun pemasangan dan penjualan kenderaan terpaksa dihentikan selama lebih daripada dua bulan akibat PKP. PROTON menjual 109,716 kenderaan bagi keseluruhan 2020 selepas berjaya menjual 13,306 unit pada bulan Disember.
Jumlah penjualan 2020 adalah penambahan 8.8 peratus berbanding 100,821 unit pada 2019, sekali gus membolehkan PROTON digelarkan sebagai satu-satunya syarikat otomotif yang berjaya mencatatkan penambahan di Malaysia.
Bahagian pasaran pula dianggarkan bertambah ke 21.1 peratus, bersamaan dengan satu penambahan yang ketara sebanyak 4.4 peratus.
Pemacu utama penumbuhan jualan adalah Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga (PIES) manakala prestasi Proton X50 melebihi jangkaan walaupun pelancarannya terpaksa ditangguhkan.
Semua model PIES sudah dikemas kini secara meluas pada 2019 dan pelaburan itu memberi hasil dengan setiap model mencatatkan penjualan lebih tinggi walaupun tahun ini dijejaskan oleh wabak koronavirus.
Apabila digabungkan dengan penambahan eksport sebanyak 49.8 peratus, ini membolehkan PROTON mengatasi tren industri otomotif Malaysia yang dijangka menguncup sebanyak 13 peratus.
Proton Saga kekal sebagai penjual utama 2020, manakala pelancaran Proton X50 serta penjualan laris Proton X70 bergabung untuk menjadikan Proton jenama SUV nombor satu di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong berkata, pihaknya bersyukur kerana berjaya mencatatkan prestasi yang tinggi pada 2020.
“Prestasi kami disokong oleh banyak faktor termasuk kepercayaan dari pelanggan, sokongan oleh kerajaan, komitmen dari vendor, ketahanan pihak penjual dan ketekunan kakitangan kami,” katanya.
Bahagian eksport PROTON berjaya mengaut kejayaan pada 2020 walaupun terdapat banyak halangan bagi pergerakan barangan secara global.
Banyak aktiviti yang berlaku pada Disember termasuk pelancaran Proton Saga pasangan tempatan (CKD) yang pertama di Kenya dan pelancaran model itu bersama Proton X70 di Pakistan, di mana kedua buah kenderaan akan dijual secara import sepenuhnya (CBU) sebelum ia dipasang siap di kilang baru di Karachi tahun ini.
Turut menerima Proton Saga adalah Mesir dan Bangladesh manakala Proton X50 pula memasuki pasaran eksport pertamanya pada 19 Disember apabila ia dilancarkan di Brunei, sekali gus menjadikannya model Proton keempat yang dilancarkan disana pada 2020.