Volunteerism-In-Action (VIA), gerakan sukarelawan kakitangan Petron membantu mengubahsuai sebuah pusat komuniti yang menempatkan lebih daripada 200 kanak-kanak dengan menyalurkan bantuan berupa peralatan aktiviti rekreasi dan pendidikan.

Pusat Komuniti Desa Mentari Seva di Petaling Jaya menerima perabot, komputer riba, ensiklopedia, buku cerita, dan majalah serta tikar yoga. Ia juga menerima permainan pendidikan berpapan dan meja “foosball” dalam usaha menjadikan pusat komuniti itu lebih berfungsi dan kondusif untuk pembelajaran kanak kanak, khasnya ketika pandemik ini.

Ketua Hal Ehwal Korporat Petron Malaysia, Wan Adibah Azian Mahmood berkata, pihaknya gembira kerana dapat memainkan peranan untuk membantu Pusat Komuniti Desa Mentari Seva dalam mencapai matlamat mereka demi kebaikan pengguna pusat terbabit.

Menurutnya, melalui Petron VIA, pihaknya bekerjasama dengan Pusat Komuniti Desa Mentari Seva untuk mengenalpasti dan memenuhi keperluan mereka dan berharap sumbangan itu berjaya membantu meningkat taraf pusat komuniti terbabit.

Pada awal tahun ini, Petron VIA bersama rangkaian pengedar stesen syarikat itu sudah menceriakan sambutan perayaan Tahun Baru Cina di rumah orang tua di Puchong.

Mereka juga menghasilkan hampir 40,000 topeng muka untuk diagihkan kepada petugas kesihatan barisan hadapan di seluruh negara semasa awal pandemik.