Antarabangsa

Kawasaki Ninja ZX-25R Akhirnya Lancar di Indonesia Harga Bermula RM28,380

gempak
Erywan
13/07/2020
02:46 MYT
Sponsor Banner
Kawasaki Ninja ZX-25R Akhirnya Lancar di Indonesia Harga Bermula RM28,380
Penantian sudah berakhir. Kawasaki Motor Indonesia (KMI) baru-baru ini melancarkan satu-satunya model sportbike yang dinanti rata-rata peminat di serata dunia. Apa lagi jika bukannya Kawasaki Ninja ZX-25R.
Ada dua varian diperkenalkan iaitu ZX-25R standard berharga 96 juta rupiah (anggaran RM28,380) dan versi ABS edis khas berharga 112.9 juta rupiah atau nilainya sekitar RM33,376. Ini adalah harga motosikal atas jalan.
Pilihan warna ditawarkan untuk ZX-25R ada empat. Varian standard cuma hadir dalam seragam hitam. Tiga lagi warna lain iaitu hijau limau Kawasaki, metalik hitam putih dan metalik biru hitam.
Selepas dipertontonkan di Pameran Motor Tokyo 2019, KMI mengesahkan model ini akan mula menemui pembeli seawal Ogos ini. Kawasaki akan menggunakan Indonesia sebagai hab pengeluaran ZX-25R dan bakal dieksport ke negara-negara Asia Tenggara lain.
Pertanyaan ramai tentang berapakah kuasa sebenar dapat dijana enjin empat silinder sebaris 250cc ini, jawapannya ialah 51PS pada15,500rpm dan mencapai tork puncak 22.9Nm pada 14,500rpm.
Jika tidak menggunakan bantuan saluran udara (Air Ram), output kuasa maksimum ialah 50PS. Transmisi digunakan ialah enam kelajuan manual. Enjin ini diperah dengan kawalan throttle by wire dan ada dua mode tunggangan, F (kuasa penuh) dan L (kuasa rendah). Kedua-dua varian dapat ciri ini.
Hanya model tertinggi SE (edisi khas) didatangkan dengan ciri Kawasaki Quick Shifter (KQS) untuk penukaran gear tanpa penggunaan klac. Teknologi akan jadi aktif apabila perahan enjin melepasi paras 2,5000rpm. Menarik? Kapasiti tangki minyaknya ialah 15 liter.
Untuk memastikan motosikal ini sukar dicuri golongan penyamun, KMI memasang ciri immobilizer. Ini bermaksud kunci ada satu cip khas yang akan berkomunikasi dengan kotak komputer motosikal.
Dalam bahasa mudah, jika tiada kunci ini maknanya motosikal tidak boleh dihidupkan. Jangan buang masa cuba gunakan 'Allenkey' yang sudah diasah atau 'kunci T' sebagai kunci klon kerana sistem elektronik ZX-25R akan mematikan kuasa pencucuhan secara automatik.
Fork depan digunakan adalah jenis Showa SFF BP dengan monoshock tujuh tetapan di bahagian belakang. Keseluruhan sistem suspensi ini adalah dalam kategori premium atau spesifikasi berprestasi tinggi.
Untuk brek, Kawasaki menggunakan angkup empat omboh monoblok jenama Tokico di depan dan brek belakang daripada Nissin. Cakera depan adalah besar iaitu 310 milimeter (mm) jenis terapung dan rim belakang dipadankan dengan cakera 220mm.
Saiz tayar membabitkan 110/70 dan 150/60 masing-masing pada rim 17 inci depan dan belakang. Jenama tayar digunakan ialah radial Dunlop Sportmax GPR 300.
Instrumeter gabungan analog dan digital memaparkan maklumat seperti kawalan cengkaman KTRC, mode tunggangan F atau L, posisi gear, lampu penukaran gear, baki minyak petrol, suhu cecair pendingin, suhu sensor pengambilan udara dan jam digital. Jawapan bonus, kelajuan maksimum ZX-25R ialah 187 kilometer sejam dan ini hasil ujian oleh pihak Kawasaki.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024