Antarabangsa

Kawasaki Tambah Baik Ninja ZX-10R Dan ZX-10RR Versi 2021

gempak
Erywan
25/11/2020
08:44 MYT
Sponsor Banner
Kawasaki Tambah Baik Ninja ZX-10R Dan ZX-10RR Versi 2021
Sejak 2015 lagi, Kawasaki Racing Team (KRT) sudah mendominasi Kejohanan Superbike Dunia (WorldSBK) dengan jentera ZX-10R dan ZX-10RR. Dengan enam gelaran juara berturut-turut, kini tiba masanya untuk Kawasaki menambah baik model-model itu bagi menjadikannya lebih segar dan kompetitif.
Pertama sekali, Kawasaki memberikan kedua-dua model ‘flagship’ ini wajah baharu yang lebih agresif dengan saiz lampu yang lebih kompak.
Ia mungkin tidak secantik model generasi terdahulu, namun menurut jenama dari Jepun itu, rekaan terbaru ini menampilkan sayap (winglet) terbina dalam yang dikatakan berupaya meningkatkan janaan ‘downforce’ sebanyak 17 peratus.
Ciri ergonomik turut disemak semula. Kedudukan tempat letak kaki kini 5mm lebih tinggi, manakala bar hendal lebih rata dan diletakkan 10mm ke hadapan. Cermin penghadang angin juga lebih tinggi daripada sebelum ini sebanyak 40mm, sekali gus bertindak melindungi penunggang daripada rintangan angin dengan lebih baik.
Di bahagian kokpit pula, terdapat skrin TFT warna berukuran 4.3 inci yang boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi Bluetooth. Menerusi cara ini, pemilik boleh memantau maklumat serta memilih pelbagai tetapan untuk jentera mereka dengan hanya menggunakan aplikasi Rideology.
Selain itu, ZX-10R turut mendapat ciri Cruise Control dan tiga mod tunggangan iaitu Rain, Road dan Sport. Kelengkapan elektronik lain yang disertakan secara standard termasuk Launch Control, ABS, Quick Shifter, Engine Braking System dan Traction Control.
Kuasa yang dihasilkan oleh enjin 998 cc, empat silinder sebaris itu tidak berubah namun ia kini patuh piawaian emisi Euro 5 menerusi penambah baikan yang dilakukan pada sistem ekzos dan susun atur penukar pemangkin. Bagi ZX-10RR, enjin terbabit mendapat omboh dan rod penghubung titanium yang dihasilkan oleh Pankl.
Walaupun kuasa tidak bertambah, Kawasaki menjanjikan prestasi pecutan julat rendah dan pertengahan yang lebih baik dengan memendekkan nisbah gear 1, 2 dan 3.
Kemas kini casis pula termasuk titik pivot lengan ayun yang lebih rendah dan ‘offset’ fork yang lebih besar. Hasilnya, jarak antara roda bertambah sebanyak 10mm dan motosikal menjadi lebih lincah terutamanya apabila keluar dari selekoh.
Sebagai varian yang sedia untuk beraksi di litar, ZX-10RR turut mendapat ciri tambahan seperti rim Marchesini, angkup brek Brembo Stylema dan jalur brek keluli tahan karat.
ZX-10R boleh didapati dalam dua warna iaitu Lime Green/Ebony/Pearl Blizzard White dan Flat Ebony, manakala ZX-10RR hanya ditawarkan dalam warna Lime Green.
Harga bermula dari £15,799 (RM86,200) untuk ZX-10R dan £24,799 (RM135,310) untuk ZX-10RR. Pengeluaran ZX-10RR akan diterhadkan kepada 500 unit sahaja untuk seluruh dunia.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024