Antarabangsa

Kejuaraan Toyota GR Velocity ESport Musim Ketiga Bermula September Ini, Tawar Hadiah RM70,000

gempak
Erywan
12/08/2020
11:00 MYT
Sponsor Banner
Kejuaraan Toyota GR Velocity ESport Musim Ketiga Bermula September Ini, Tawar Hadiah RM70,000
Perlumbaan maya anjuran Toyota akan bermula lagi September ini dengan beberapa siri pusingan kelayakan, separuh akhir serta perlumbaan kemuncak dengan format empat-saingan.
Empat pusingan kelayakan dalam talian yang terhad kepada 180 peserta setiap pusingan, akan berlangsung sepanjang dua hujung minggu berturut-turut, iaitu pada 3 sehingga 4 September dan 12 sehingga 13 September, dijangka membabitkan 720 pelumba. Pusingan kelayakan akan menggunakan litar Fuji Speedway di Jepun dengan jentera lumba GR Supra RZ.
20 pemandu terpantas kemudiannya akan layak ke pusingan separuh akhir yang akan diadakan pada 26 September di ibu pejabat UMW Toyota Motor di Shah Alam. Pusingan separuh akhir itu bakal menyaksikan dua perlumbaan berasingan bakal berlangsung dengan meminjam lokasi maya di Jepun.
Pertama, perlumbaan dengan 22 pusingan di Kyoto Driving Park menggunakan jentera lumba prototaip TS050 Hybrid, dan kedua menggunakan jentera Dallara Super Formula SF19 di litar Suzuka sepanjang 5.8 km dengan saingan 18 pusingan.
Sementara itu, 10 pemandu terpantas kemudiannya akan menempah tempat ke pusingan akhir pada 27 September di lokasi sama, di mana saingan untuk muncul juara dan memenangi hadiah utama bernilai RM20,000 akan ditentukan daripada empat perlumbaan sengit melalui himpunan mata di setiap pusingan.
Ia terbahagi kepada beberapa pusingan seperti:
1. Perlumbaan pertama akan menyaksikan pelumba memandu GR Supra RZ di liter Autodrome Lago Maggiore di Itali (15 pusingan). 2. Perlumbaan kedua di Autopolis Racing Course Jepun dengan jentera FT-1 Vision Gran Turismo (18 pusingan). 3. Perlumbaan ketiga dengan jentera TS050 Hybrid di Circuit de la Sarthe di Perancis (10 pusingan). 4. Perlumbaan keempat dan terakhir di litar Spa-Francorchamps Belgium menggunakan jentera Dallara Super Formula SF19 dikuasakan oleh Toyota (18 pusingan).
Disifatkan sebagai satu daripada siri perlumbaan dalam talian tempatan yang menawarkan habuan lumayan dengan hadiah membabitkan:
  • Juara - RM20,000
  • Naib Juara - RM10,000
  • Ketiga - RM7,000
  • Keempat - RM5,500
  • Kelima - RM4,500
  • Keenam - RM4,000
  • Ketujuh - RM3,500
  • Kelapan - RM3,000
  • Kesembilan - RM2,500
  • Ke-10- RM2,000
  • Tempat ke-11 sehingga 20 - RM500
Dengan RM70,000 tersedia untuk dimenangi, semua pelumba akan berpeluang untuk menerima wang tunai tambahan bernilai dari RM450, RM200 dan RM100 yang akan diberikan kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap empat pusingan akhir nanti.
Tiga pemenang teratas juga akan menerima penghormatan untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan sukan permotoran maya yang julung kali diadakan, Piala Asia GR Supra GT 2020 yang dianjurkan oleh Toyota Motor Asia Pacific (TMAP) pada Oktober 2020. Acara berkenaan bakal menyaksikan pelumba dari Malaysia bersaing dengan pelumba terbaik dari Thailand, Singapura, Filipina dan India.
Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports Musim Ketiga ini turut akan menampilkan perlumbaan pertunjukkan 10 pusingan membabitkan pelumba dan selebriti yang bersaing di dalam Toyota Vios Challenge dan Toyota Gazoo Racing Festival.
Pelumba TGR akan berentap di dalam perlumbaan 10 pusingan menggunakan Toyota GR Supra Racing Concept di litar Fuji International Speedway sepanjang 4.5 km, sementara barisan selebriti pula akan menggunakan jentera TS050 Hybrid di dalam perlumbaan 17 pusingan di Tokyo Expressway.
Ketua Pegawai Sukan Permotoran Toyota Gazoo Racing, Akio Takeyama berkata, perlumbaan perlu diteruskan, walaupun dalam keadaan norma baru pasca- pandemik.
“Tempoh lima bulan sebelum ini memberi ruang kepada UMWT untuk merencana aktiviti perlumbaan maya dan membawakan semangat lumba Gazoo serta sukan perlumbaan kepada orang ramai," katanya.
Untuk maklumat lanjut tentang Kejuaraan Toyota GR Velocity Esports dan untuk mendaftarkan penyertaan, sila layari www.toyota.com.my.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live