Ketahui 7 Ciri Baharu Pada Toyota Yaris Facelift Ini
Erywan
02/11/2020 07:39 MYT
02/11/2020 07:39 MYT
Dengan penampilan lebih segar, ciri keselamatan dipertingkat dan capaian sambungan serta keselesaan yang lebih tinggi, Toyota Yaris terbaru mempamerkan kemas kini rekaan yang lebih ketara untuk memperkukuhkan kedudukannya.
Yaris mula diperkenalkan sebagai model CKD pada April 2019 dan sejak itu sudah menjadi pilihan No. 1 bagi kenderaan hatchback segmen Bukan Nasional sehingga kini.
Dengan penambahbaikan terbaru ini yang melibatkan aspek rekaan dan kelengkapan, UMW Toyota yakin ia akan kekal menjadi pelopor dalam segmennya.
Pembaharuan yang dilakukan pada Yaris dengan ditawarkan dalam tiga tingkat membabitkan J, E dan G adalah:
Pembaharuan yang dilakukan pada Yaris dengan ditawarkan dalam tiga tingkat membabitkan J, E dan G adalah:
1.Yaris kini menerima beberapa pembaharuan bagi meningkatkan lagi imejnya dengan bahagian depan yang direka semula bagi memberikan penampilan yang makin agresif. Perbezaan ketara boleh dilihat pada rekaan bampar depan serba baru, yang kini turut hadir dengan aerokit serta gril depan berbeza.
2. Kehadiran lampu utama "triple bezel" LED sepenuhnya dengan lampu kabus di kedudukan baru pada bampar, rekaan yang kini lebih menonjol. Sebagai tambahan, lampu utama "triple bezel" turut dilengkapi dengan fungsi "follow-me- home" untuk keselamatan dan kemudahan pengguna.
3. Yaris juga dilengkapi dengan ciri-ciri Toyota Safety Sense (TSS). Ia hadir dengan pelbagai ciri keselamatan tambahan, termasuk sistem pra-perlanggaran (PCS) yang membolehkan sistem kamera dan radar bersepadunya membantu mengurangkan risiko perlanggaran dengan kereta di depan. Sistem yang aktif dalam kelajuan bermula 15 km/j ini akan memaklumkan pemandu sekiranya ia mengesan kenderaan lain dalam jarak perlanggaran dan akan membantu memperlahankan kenderaan sebagai sokongan tambahan.
4. Amaran penukaran lorong (LDA) pula menghindarkan kenderaan daripada menukar lorong secara tidak sengaja melalui peringatan melalui paparan pelbagai-info dan juga dalam bentuk bunyian. Ciri berkenaan berfungsi dalam kelajuan melebihi 50 km/j dan boleh dinyah-aktif jika tidak mahu menggunakannya.
5. Peninjau pandangan panoramik 360-darjah 3D pula memberikan penglihatan sekeliling kenderaan kepada pemandu untuk memudahkan lagi pemerhatian. Ciri-ciri ini menjadi pelengkap kepada sistem keselamatan sedia ada pada Yaris sebelum ini, termasuk kawalan kestabilan kenderaan (VSC), kawalan cengkaman (TRC), kawalan bantuan mula mendaki (HAC), tinjauan titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang (RCTA), sistem brek anti-kunci (ABS), agihan daya brek elektronik (EBD), bantuan brek (BA) serta perakam video digital di depan dan juga belakang (DVR).
6. Sebagai tambahan kepada aspek keselesaan pengguna serta capaian sambungan yang lebih mudah, Yaris dipasangkan dengan skrin tujuh-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem telematik kenderaan juga didatangkan secara standard (bagi varian G & E) sebagai sebahagian langkah lanjutan syarikat terhadap capaian sambungan di bawah jenama 360-T.
7. Platinum White Pearl menjadi warna baru yang ditawarkan untuk Yaris. Pelanggan bagaimanapun masih boleh memilih dua warna sedia ada , Red Mica Metallic dan Silver Metallic.
Bagi yang berminat, Yaris mula dibuka untuk tempahan hari ini di semua bilik pameran sah Toyota seluruh negara, dengan jaminan komprehensif lima-tahun tanpa had perbatuan.
Harga jualannya akan diumumkan tidak lama lagi dan pelanggan akan terus dapat menikmati pengecualian cukai jualan bagi kenderaan CKD yang sedang berlangsung ketika ini. Pelanggan juga boleh membuat tempahan secara dalam talian menerusi laman web rasmi UMW Toyota bermula 2 November 2020.
Harga jualannya akan diumumkan tidak lama lagi dan pelanggan akan terus dapat menikmati pengecualian cukai jualan bagi kenderaan CKD yang sedang berlangsung ketika ini. Pelanggan juga boleh membuat tempahan secara dalam talian menerusi laman web rasmi UMW Toyota bermula 2 November 2020.
Untuk maklumat lanjut berkaitan model Yaris terbaru ini, layari toyota.com.my.