“Motor apa ni?” Demikian soalan yang kerap diajukan orang ramai apabila memerhatikan sebuah motosikal yang diubah suai secara ekstrem.

Direka dengan bentuk seakan-akan Chopper Style ala Harley Davidson, jentera dua roda pilihan Drebar.my pada kali ini amat unik kerana hampir keseluruhan komponen yang digunakan adalah dibina khas atau kustom.

Pemiliknya Roshimi Abu Seman atau Mie Iman, 40-an, dari Sungai Petani, Kedah memaklumkan jentera itu sengaja dicipta sedemikian bagi menampilkan kelainan dalam dunia permotoran.

Tambahnya jenteranya itu turut dijadikan daya penarik di bengkelnya, Mie Iman Bodywork and Spray.

Pelbagai komponen binaan khas dilakukan membabitkan kerangka, tangki, penyerap hentak hadapan, tempat duduk, tongkat dan banyak lagi.

Namun jentera yang diberi gelaran Mini Bobber itu sebenarnya dijana oleh enjin Honda EX5. Jadi ia tidaklah laju seperti jentera Harley Davidson.

Bagaimanapun, enjin itu sudah menjalani proses naik taraf dengan penggunaan omboh besar bersaiz 53mm dan menggunakan karburetor Mikuni untuk meningkatkan prestasinya.

Pada masa sama, beberapa komponen basikal turut digunakan iaitu penghidup tendang dan hendal, manakala gear pula dibina khas seolah-olah tombol gear kereta.

Bahagian tayar juga unik apabila menggunakan rim Chally dengan balutan tayar 5.00/10 di bahagian belakang, manakala rim depan bersaiz 17 inci tanpa sebarang brek.

Baca juga artikel modifikasi motosikal lain:

>>RM37,000 untuk modifikasi Yamaha Y15ZR.

>>Honda CG125 Cafe Racer.

>>Klik di sini untuk lihat galeri gambar jentera ini.

Menurut Roshimi, jentera itu pada mulanya dibina di Bangsai Garage sebelum kerja akhir diambil alih olehnya dengan menelan belanja yang cukup minimum.

Baginya keunikan motosikal dan kos yang sudah dibelanjakan untuk membina Mini Bobber itu adalah 'Harga Sebuah Kepuasan' dan ada nilai sentimental pada pandangan penggemar motosikal kustom sepertinya.