Polis Awam Santa Catarina di Brazil berjaya menumpaskan sebuah kilang yang di bandar Itajai kerana disyaki membina model tiruan Ferrari dan Lamborghini.

Sebanyak lapan kenderaan tiruan ditemui di bengkel berkenaan sebahagian daripada satu skim cetak rompak yang dikecam kedua-dua pengeluar kenderaan mewah jenama Itali itu.



Setiap satu kereta tiruan itu dijual antara 180,000 dan 250,000 Real Brazil (mata wang Brazil).

Menurut laporan, bengkel ini menggunakan bahagian-bahagian kereta lama dan sejumlah material berkualiti rendah dan setiap kenderaan dibina berdasarkan tempahan.

"Satu daripada kenderaan itu, mereka memasang enjin sebuah (Chevrolet) Omega,” kata Angelo Fragelli, individu yang bertanggungjawab terhadap operasi itu semasa satu wawancara dengan akhbar Folha de Sao Paulo.



Menurut Polis Awam, siasatan sebenarnya bermula dua bulan lalu selepas menerima aduan yang difailkan sebuah firma guaman di Sao Paulo. Firma itu mewakili Ferrari dan Lamborghini.

Kedua-dua syarikat automotif itu mempunyai pasukan sendiri yang bertugas untuk mencari operasi haram di beberapa negara dan pasukan ini juga menemui skim cetak rompak di Brazil.

Dua suspek ditangkap di bengkel itu, seorang bapa dan anaknya. Mereka memberi keterangan dan dibebaskan.



Menurut polis, suspek mendakwa kereta itu semuanya prototaip sah. Bagaimanapun, mereka akan didakwa dengan jenayah berkait harta industri. Pelanggan yang menempah kereta cetak rompak juga akan disiasat polis.

Sebelum bengkel dan kilang itu diserbu, usahawan cetak rompak itu sudah mempunyai dua saman daripada pelanggan mereka sendiri yang mendakwa kelewatan dalam penghantaran.

Kredit: Polícia Civil de Santa Catarina