Bagi peminat jenama Ducati, anda kini boleh mendapatkan komputer riba jenama Lenovo dengan kemasan Ducati Corse.

Produk yang dipanggil Lenovo Ducati 5 adalah hasil kerjasama antara Ducati di Itali dan Lenovo di China.

Lenovo Ducati 5 diperkenalkan pada Pameran Konsumer Elektronik 2020 di Las Vegas dan hanya 12,000 unit akan dihasilkan serta ditawarkan kepada pengguna di Eropah.

Komputer 14 inci itu adalah tahap sederhana dan menggunakan sistem Windows 10 bersama cip Intel Core i5 generasi ke-10.

Bahagian atas komputer itu ada terpapar tulisan Ducati bersama jalur merah perlumbaan. Di bawahnya juga ada paparan jenama motosikal buatan Itali itu.

Komputer yang dibuat berasakan aluminium itu mempunyai tempat saluran keluar udara bercorak honeycomb, seperti rekaan ekzos Ducati.

Sistem BIOS pula agak unik kerana ia akan memainkan bunyi deruman seakan-akan bunyi pelumba MotoGP beraksi di litar perlumbaan.

Komputer ini mengandungi sistem Dolby Audio, kad grafik Intel, skrin HD penuh, ciri pengecasan pantas, Wifi 6, Bluetooth 5.0, cakera keras 1TB dan memori 8Gb.

Pek bateri Lenovo Ducati 5 mampu berkhidmat selama 12 jam sebelum anda perlu menyambung kabel untuk mengecas semula. Komputer ini dijual dengan harga 899.99 Euro atau RM4,100.