Pandu Uji

Lain macam Toyota Camry baharu ini, macam tak percaya je!

gempak
Erywan
30/03/2020
05:27 MYT
Sponsor Banner
Lain macam Toyota Camry baharu ini, macam tak percaya je!
Sebelum ini, kenderaan segmen D disasarkan kepada golongan yang sudah berumur serta berpangkat tinggi dalam sesebuah syarikat.
Adakalanya, kenderaan sedan segmen D itu tampil dengan watak membosankan sehingga tidak mampu memikat warga muda khususnya yang berkemampuan untuk memilikinya.
Kalau kita lihat peredaran dalam industri automotif ketika ini, sebenarnya sudah banyak pengeluar kenderaan sudah membuka mata mereka menyediakan kereta bersaiz besar dengan reka bentuk yang mampu menarik golongan muda. Seperti Toyota Camry generasi baharu, ternyata pendekatan reka bentuk yang ditampilkan mampu menarik minat golongan muda untuk memilikinya.
Lihat sahaja pada bahagian hadapannya, jeriji pada bampar hadapan yang terbuka luas itu untuk memberi pengudaraan sempurna untuk menyejukkan enjin, sekali gus membuatkannya tampak sporty.
Lampu hadapannya dengan ciri bi-LED projektor ternyata memberi satu karakter luar biasa berbanding segmen D yang lain.
Belakangnya pula, lampu yang panjang dan kelihatan bersambung dengan but serta bahagian sisinya. Menariknya, hujung but itu ada sedikit lebihan seolah-olah tampak spoiler kecil untuk kelihatan seperti sporty. Jika masuk ke ruang kabin, ia sememangnya kelihatan mewah dan sangat berlainan seolah-olah penulis boleh terlupa ia Toyota Camry. Material pada konsul tengahnya ia ternyata berlainan daripada yang lain. Ia seolah seperti kepingan kayu, tetapi sebenarnya tidak.
Bagi melengkapkan ciri premiumnya, ia didatangkan stereng yang boleh dilaras secara elektronik, skrin sesentuh kapasitif lapan inci, sistem audio JBL sembilan pembesar suara, skrin berwarna tujuh inci di antara dua dial Optitron di panel instrumen dan head-up display (HUD) 10 inci.
Sepanjang beberapa hari memandunya, pengecas telefon tanpa wayar Qi cukup bermakna kepada penulis untuk mengecas gajet. Namun, pastikan telefon bimbit anda mempunyai ciri pengecas tanpa wayar. Tempat duduk belakang, ia sebenarnya tersangat luas dan sesuai untuk penumpang belakang untuk berehat sepanjang perjalanan. Lagi pun, suspensi mampu bermain dengan baik untuk memberi keselesaan itu.
Sebenarnya penulis belum cukup puas meratah Toyota Camry ini, maklumlah hanya boleh mengujinya kurang daripada empat hari sahaja.
Dalam masa yang singkat itu juga, penulis sempat mengujinya ke Genting Highlands untuk mengambil gambar jentera ini.
Bermula di kaki bukit, Toyota Camry ini sudah tunjuk belangnya kerana ia mampu mengambil selekoh dengan cukup baik selepas menggunakan suspensinya MacPherson di hadapan dan double wishbone di belakang. Lagi pun, jentera ini bukannya sebuah kereta sport tetapi ia mengambil selekoh dengan tepat dan sangat cemerlang. Prestasinya juga, jentera ini cukup lancar dan mengagumkan enjin 2.5 liter empat silinder yang dipadankan transmisi 6 kelajuan automatik dengan menyalurkan 184PS dan tork 235Nm.
Di laluan berbukit mungkin rasa sedikit berat, tetapi di lebuh raya ia memang tandingan. Lagi pun, ruang kabin rasa sangat senyap selepas bunyi angin dan enjin tidak meresap masuk ke dalam kokpit.
Keselamatannya pula, Camry dilengkapi sistem Toyota Safety Sense yang merangkumi Sistem Pra-Pelanggaran, Lane Departure Alert, Bantuan Stereng, Kawalan Kelajuan Radar Dinamik dan Lampu Tinggi Automatik. Akhir sekali dan paling penting untuk anda tahu, Toyota Camry ini menerima 5-Bintang Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP).
Dalam penilaian itu, Toyota Camry mendapat 49.04 mata bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP) menerima 22.68 mata, manakala 19.75 mata Bantuan Teknologi Keselamatan (SATs).
Jika mahu memiliknya, Toyota Camry hadir dengan lima tahun waranti tanpa had perbatuan yang mana bakal dijual satu varian sahaja. Harga dijual pada harga RM189,900 tidak termasuk insurans.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live