Antarabangsa
Lamborghini Essenza SCV12, Jentera Paling Ekstrem Dalam Sejarah Syarikat Itu
Lamborghini bukannya pengeluar asing dalam menghasilkan jentera lumba di litar untuk segelintir pemandu kaya yang gemar beraksi di litar lumba.
Jika masih ingat, model lumba paling popular yang pernah dihasilkan ialah Diablo GTR.
Kini, Lamborghini menghasilkan Essenza SCV12 iaitu sebuah hypecar berprestasi yang amat sesuai untuk pemandu kelas jutawan atau bilionair.
“Essenza SCV12 menawarkan pengalaman pemanduan paling tulen di litar lumba yang boleh ditawarkan pihak kami. Satu hasil kejuruteraan yang menyatukan kereta kami dan tar atas jalan," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Automobili Lamborghini, Stefano Domenicali.
Essenza SCV12 boleh dikatakan sebuah jentera paling ekstrem Lamborghini dalam sejarah syarikat. Ia dilengkapi enjin V12 aspirasi biasa yang paling berkuasa pernah dicipta syarikat Itali itu.
Melihat sahaja reka bentuk kereta ini, sudah diketahui ini bukan sebarang jentera lumba litar. Bahagian depan tidak didatangkan dengan lampu depan bersaiz besar seperti model lain. Lampu depan sudah diposisikan lebih rendah dan lebih dekat dengan bolong udara bersaiz besar.
Mungkin ada yang tertanya, kenapa kereta lumba ini perlu ada lampu depan. Jawapan paling selamat ialah mungkin ada pemandu suka menyertai perlumbaan waktu malam di litar.
Di belakang, jentera ini kelihatan lebih lebar dengan padanan spoiler belakang gergasi dan diffuser bersaiz besar. Rim kereta ini diperbuat daripada material magnesium dan dibalut tayar jenis slick dari Pirelli.
Setiap aspek reka bentuk pada Essenza SCV12 ada fungsi tersendiri. Ini adalah hasil tangan kumpulan di Lamborghini Centro Stile, pihak yang mereka semua kereta lumba Lamborghini sejak penubuhan Squadra Corse.
Lamborghini menyatakan jentera ini mampu menjana lebih banyak downforce berbanding model GT3. Casis kereta diperbuat daripada gentian karbon untuk mengurangkan kadar berat.
Enjin aspirasi biasa bawah hud mampu menghasilkan lebih 830 kuasa kuda dan kuasa disalurkan ke roda belakang dengan bantuan kotak gear enam kelajuan X-trac sequential. Nisbah kuasa dan berat Essenza SCV12 ialah 1.66hp bagi setiap kilogram.
Bagi mengajar orang kaya memandu Essenza SCV12 ke tahap kemampuan sebenar, Lamborghini akan memberikan latihan memandu yang akan diajar oleh juara lima kali 24 Hours of Le Mans, Emanuele Pirro.
Pembeli berpeluang memandu jentera ini di beberapa trek lumba terpilih di seluruh dunia. Hanya 40 unit Essenza SCV12 akan dihasilkan untuk pasaran global. Apa pun, Lamborghini belum menyatakan semua sudah habis dijual.