Antarabangsa
Lamborghini Huracan EVO RWD – Supercar Yang Boleh Lakukan Aksi Drift
Bagi memulakan tahun 2020, Lamborghini melancarkan ahli keluarga Huracan terbaru yang menampilkan pacuan roda belakang. Dikenali sebagai Huracan EVO RWD, ia direka untuk mereka yang mahukan pemanduan yang lebih lincah terutamanya ketika mengambil selekoh.
Seperti Huracan EVO AWD yang diperkenalkan setahun lalu, model terbaru ini dikuasakan oleh enjin NA 5.2-liter V10 namun kali ini 100 peratus kuasa yang dihasilkan iaitu 610hp dan 560Nm disalurkan ke roda belakang.
Dipadankan dengan sistem stereng dinamik yang ditala khas, Huracan EVO RWD membolehkan pemandunya melakukan aksi ‘drift’ secara terkawal tanpa menjejaskan aspek keselamatan.
Perkara ini menjadi tidak mustahil dengan kehadiran Performance Traction Control System (P-TCS) baharu yang boleh dikalibrasikan menerusi tiga mod pemanduan yang disediakan iaitu Strada, Sport dan Corsa.
Dalam mod Strada (Street), sistem itu meminimumkan tahap gelincir roda belakang bagi memastikan kestabilan dan keselamatan dalam semua keadaan, manakala dalam mod Sport, penyaluran tork akan dihadkan bagi membolehkan pemandu mendapatkan sudut ‘oversteer’ yang lebih besar sekali gus membolehkan jentera ini ‘drift’.
Sementara itu, mod Corsa (Race) pula akan menyeimbangkan tahap gelincir dan cengkaman bagi membolehkan pemandu memecut keluar dari selekoh dengan lebih pantas bagi mencatat rekod masa yang baik.
Menurut Lamborghini, talaan terhadap P-TCS menghasilkan tahap cengkaman ketika keluar dari selekoh yang lebih baik sebanyak 20 peratus manakala ‘oversteer’ pula meningkat 30 peratus berbanding Huracan RWD.
Dari segi prestasi, jentera ini mampu melakukan pecutan 0-100km/j dalam 3.3 saat iaitu 0.4 saat lebih perlahan berbanding versi AWD. Bagaimanapun, kelajuan maksimum kekal pada 325km/j.
Bukan itu sahaja, peralihan dari pacuan semua roda ke pacuan roda belakang membolehkan Lamborghini mengurangkan berat sebanyak 33kg dengan berat keseluruhan terbaru 1,389kg.
Bakal memasuki pasaran bermula musim bunga tahun ini, Huracan EVO RWD ditawarkan pada harga bermula dari EUR159,443 (RM730,947).