Supercar untuk kegunaan off-road mungkin kedengaran tidak logik, tetapi nampaknya inilah hala tuju baru yang ingin diterokai oleh Lamborghini menerusi model konsep Huracan Sterrato.

Melihat kepada reka bentuknya, memang jelas jentera ini direka untuk aksi lasak di atas permukaan selain jalan raya. Jarak kelegaan tanah ditambah sebanyak 47mm, manakala sudut ‘departure’ dipertingkatkan sebanyak 6.5 peratus.


Selain itu, jarak roda kiri dan kanan turut meningkat sebanyak 30mm dan ini secara langsung memberi ruang kepada Lamborghini untuk menggunakan tayar yang lebih besar dengan rim 20 inci.

Aspek perlindungan jentera ini diperkuatkan lagi dengan penggunaan plet pada bahagian bawah badan (underbody) dan ‘skid plate’ belakang yang juga bertindak sebagai diffuser. Enjin dan ambilan udara pula dilindungi oleh bahan komposit.


Bahagian dalaman menampilkan sangkar perlindungan yang diperbuat daripada titanium, tempat duduk karbon dengan tali pinggang keledar empat-poin dan panel lantai aluminium.

Menggunakan Huracan Evo sebagai asas, Sterrato dipacu oleh enjin 5.2-liter V10 yang menjana 640hp dan 600Nm.


Seperti Evo, ia juga dilengkapi dengan sistem Lamborghini Dinamica Veicolo Integrate (LDVI) yang mengawal sistem pacuan semua roda, suspensi, pemvektoran tork dan sebagainya.

Menurut laporan, terdapat kemungkinan Huracan Sterrato dijadikan model produksi, namun dalam bilangan yang terhad iaitu antara 500 hingga 1,000 unit.