Antarabangsa
Lamborghini Miura P400 S Coupe yang terbiar ini harganya boleh mencecah RM5.06 juta
Lamborghini Miura P400 S Coupe adalah supercar yang dicari-cari oleh pengumpul kenderaan di seluruh dunia.
Satu daripada jentera itu kini sedang mencari pemilik baharunya selepas terbiar dalam bangsal yang terletak di Black Forest, barat daya Jerman.
Supercar itu terbiar dalam bangsal berkenaan dalam tempoh empat tahun dan kini dipenuhi debu dan habuk seluruh badan kenderaan berkenaan. Jentera buatan 1969 itu terbiar selepas pemilik asalnya meninggal dunia pada 2015.
Jentera itu boleh dikatakan melalui ‘kapsul masa’ kerana warna, komponen luaran dan dalaman serta mekanikal lain seolah-olah ia baru keluar dari kilang seperti 50 tahun lalu.
Berdasarkan gambar odometernya, jentera itu baru sahaja dipandu sejauh 29,020 kilometer dan dipercayai ia adalah satu-satu supercar model berkenaan yang masih dalam kondisi asal.
Jentera itu bakal dilelong oleh RM Sotheby’s di London pada 24 Oktober ini. Dijangka perang bidaan akan berlaku di sana untuk memilik kenderaan berkenaan. Difahamkan bidaan itu bakal mencecah antara £800,000 (RM4.02 juta) dan £1 juta (RM5.06 juta)
Lamborghini Miura P400 S Coupe dikeluarkan antara 1968 sehingga 1971 dengan dihasilkan sebanyak 338 unit pengeluarannya.
Ia menggunakan enjin V12 bersesaran 3,929 cc yang menyalurkan 370PS dengan tork mencecah 388Nm.
Enjin yang terletak di bahagian tengah belakang itu turut dipadankan transmisi lima kelajuan dengan menggunakan pacuan belakang.
Sumber: www.dailymail.co.uk