Lamborghini mempertontonkan varian Sian roadster baharu, memegang status supercar paling pantas dalam sejarah penghasilan produk syarikat Itali itu.


Kereta tanpa bumbung ini mampu menjana kuasa maksimum 819hp dicipta dengan ilham daripada model konsep Terzo Millenio. Hanya 19 unit Lamborghini Sian roadster akan dihasilkan untuk pasaran dunia dan semua sudah ada pembeli.


Model konsep Terzo Millenio ialah petunjuk reka bentuk masa hadapan Lamborghini. Signatur lampu depan serampang tiga penjuru atau berbentuk huruf Y dan susun atur mendatar tiga unit lampu belakang heksagon pastinya menjadi tarikan utama.


Rangkaian kuasa Sian roadster ini diambil daripada Aventador SVJ iaitu jenis 6.5 liter V12, tetapi diberi tambahan sistem hibrid sederhana 48v. Kotak gear tujuh kelajuan ISR (independent shifting rod) menjadi padanan enjin dan membolehkan output maksimum mencecah 819hp (602 kilowat).


Kalau dibanding dengan versi Sian coupe yang dilancarkan kira-kira 10 bulan lalu, supercar bumbung keras itu cuma berupaya menjana kuasa maksimum 809hp walaupun dengan bantuan motor elektrik 48v. Model Sian coupe bumbung keras dikeluarkan dalam bilang terhad iaitu 63 unit.


Supercar hidbrid ini dipasang supercapasitor Lamborghini yang boleh menyimpan kuasa 10 kali ganda lebih tinggi daripada pek bateri litium ion dan tiga kali lebih berkuasa serta ringan beratnya.


Kuasa daripada supercapasitor ini akan dihantar ke unit motor elektrik, menganjak kuasa pecutan dan kelajuan Sian. Satu sistem teknologi penghasilan tenaga semasa membrek akan membantu mengecas semula supercapasitor kereta ini.


Lamborghini mendakwa Sian roadster boleh memecut daripada kedudukan pegun ke 100 kilometer sejam dalam masa kurang daripada 2.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum 350 kilometer sejam (sama seperti varian Sian coupe).


Model yang anda lihat ini berwarna Blu Uranus dengan rim kemasan Oro Electrum (warna emas). Jika diamati, bahagian depan ada spoiler bampar tirus gentian karbon. Semua lampu digunakan adalah jenis LED. Tiada maklumat didedahkan mengenai harga kereta ini.