Hypercar Lamborghini Sian FKP37 dikeluarkan hanya 63 unit seluruh dunia dan kini anda boleh dapati model berkenaan dalam skali 1:8.


Pihak Lego mengeluarkan produk baharu yang direka cukup teliti dan sempurna dengan spoiler boleh dioperasi. Lamborghini Sian FKP37 versi Lego itu bersaiz 600mm panjang, 250mm lebar dan 130mm tinggi.


Lego menyediakan 3,696 blok. Lamborghini berwarna hijau terang Verde Scandal itu dipadankan dengan pintu gunting Gullwing boleh dibuka dan lampu siang (DRL) LED bentuk Y seperti kereta sebenar.


Kemudian bahagian rim multi-jejari warna gangsa disempurnakan dengan kemasan belakang lampu tiga kluster, peredam di tengah dan diffuser.


Selain spoiler boleh lipat, juga ada komponen crossbar enjin dengan kemasan gentian karbon berserta unit enjin aspirasi natural (NA) 6.5L V12. Semuanya direka rapi dan terperinci.


Menyerlahkan lagi penampilan hypercar itu, Lego turut memperincikan komponen kaliper brek merah dengan tayar lebar.


Mainan di bawah LegoTecnic itu dijadualkan dijual di Amerika Syarikat (AS) bermula 1 Jun 2020 pada harga kira-kira AS$380 (RM1,660).