Antarabangsa
Lamborghini Urus Jadi Keyrus, Sekuat 820hp
Ramai yang belum kenal Keyvany, sebuah syarikat talaan kenderaan yang dilihat bakal duduk setanding pemain industri aftermarket di Jerman tidak lama lagi.
Syarikat ini berpangkalan di Frankfurt dan menawarkan khidmat talaan berprestasi serta menghasilkan banyak komponen panel badan berasaskan material gentian karbon.
Keyvany ditubuhkan pada 2018 dan dalam masa dua tahun, mereka sudah mengejutkan industri aftermarket dengan sentuhan kustom membabitkan beberapa model seperti Bentley Continental GT, Mercedes G-Class dan juga projek Porsche 992. Kini, mereka mentafsir semula identiti Lamborghini Urus dan memanggil model ini Keyrus.
Kerja bermula dengan menanggalkan beberapa komponen standard pada badan Urus dan menggantikannya kepada produk gentian karbon ciptaan mereka. Ini membabitkan skirt sisi, bampar belakang baharu dan hud depan serta beberapa komponen lain. Ini membantu mengurangkan berat kering Urus sebanyak 75 kilogram.
Jurusolek Keyvany kemudiannya memasang lampu utama depan jenis LED dengan ada lampu nyalaan siang berbentuk huruf Y. Untuk dalaman kabin, mereka mengenakan set pedal aluminium baharu dan roda stereng gentian karbon.
Di bawah bonet, enjin asal juga menerima kerja-kerja naik taraf hingga membolehkan ia menjana kuasa sehingga 820hp dengan daya tarikan tork setinggi 1,100Nm.
Talaan dilakukan membolehkan Keyrus lebih tangkas memecut iaitu hanya 3.3 saat untuk mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) dan tiada masalah mencapai kelajuan maksimum 350km/j.
Untuk perbandingan, sebuah Lamborghini Urus standard edisi 2020 menggunakan enjin 4.0 liter V8 dengan dua unit turbo mampu mengesktrak kuasa 641hp pada 6,000rpm dan tork 848Nm pada 2,250rpm.
Kotak gear standard ialah jenis automatik lapan kelajuan yang disambung kepada sistem pacuan semua roda. Untuk pecutan dari titik pegun ke 100km, masa diperlukan ialah 3.6 saat. Kelajuan maksimum ialah 305km/j.
Kembali semula kepada kerja modifikasi, tuner Jerman itu menyiapkan projek ubah suai ini dengan menyarung rim buatan sendiri, berasaskan material aluminium, sebesar 24 inci pada Keyrus.
Rim asal Urus cuma sebesar 21 inci, tetapi masih diperbuat daripada aluminium. Sebelum terlupa, Keyrus ialah nama yang terhasil dengan gabungan Keyvany dan Urus.
Must-Watch Video