Biarpun pengeluaran Land Rover Defender versi kotak ini ditamatkan, ia masih lagi diminati kerana ketahanan dan reka bentuk yang tidak ketinggalan zaman.

Justeru itu, Land Rover Defender menjadi model yang paling dicari-cari buat peminat pacuan empat roda, terutamanya bagi mereka ‘berpoket tebal’.

Bagi sebuah syarikat kustom di Carolina Selatan, Amerika Syarikat menjadi sebuah Land Rover Defender sebuah kereta projek yang digelar Himalaya.

Apa yang menariknya, jentera hasil ciptaannya itu dijanakan dengan enjin yang berkuasa, selain menerapkan ciri-ciri mewah.

Bagi membina Land Rover Defender itu, ia menggunakan enjin 6.2 liter daripada model Corvette LS3 yang mana ia mampu mengekstrak 525hp dengan tork setinggi 671Nm.

Adanya prestasi sebanyak itu, ternyata ia tidak akan membawa masalah untuk mendaki atau halangan-halangan lain.

Selain enjin, ada beberapa ciri baharu yang digunakan membabitkan sistem bahan api, cakera brek, sistem wayar dan penyaman udara.

Ruang dalaman juga tidak ketinggalan apabila diperkemaskan dengan kerusi balutan kulit, papan pemuka sentuhan gentian karbon, stereng kulit Momo dan yang terakhir menggunakan sistem audio sesentuh Alpine.

Bagi memberi keselesaan yang optimum, Hilamaya dipertingkatkan dengan kedapan bunyi yang lebih baik dan setaraf dengan SUV moden ketika ini.

Secara keseluruhannya, Defender yang diubah suai ini mempunyai banyak ciri menarik, cuma harganya sahaja kurang sedap kedengaran.

Ini kerana harga kos jentera itu mencecah USD250,000 (RM1.02 juta) dan ia boleh dikatakan terlalu mahal. Bayangkan harga itu, anda boleh memiliki SUV paling cantik dan laju iaitu Lamborghini Urus.