Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Land Rover Defender Overfinch - Satu-Satunya Yang Ada Di Dunia!

Erywan
14/02/2020 06:36 MYT
Walaupun Land Rover Defender generasi baharu telah dilancarkan, versi asli model itu masih mendapat perhatian peminat dan juga syarikat-syarikat talaan kenderaan off-road di luar sana.

Sebagai contoh, lihat sahaja Defender Soft Top berwarna Emerald Green ini. Ia merupakan model ‘one off’ yang dihasilkan oleh Overfinch, syarikat yang memfokuskan kepada pengubahsuaian Land Rover sejak 1975.

Menggunakan varian Defender 90 sebagai titik permulaan, Overfinch mengambil keputusan untuk membuang kerusi belakang dan menggantikannya dengan ‘cargo bed’ yang dikemaskan dengan kayu jati untuk penampilan yang lebih mewah. Turut disertakan adalah kotak penyimpanan berkunci dengan plak ‘Special Commission’.

Selain itu, trak ini juga hadir dengan rim aloi Apollo berukuran 18 inci, hud kustom berbonjol serta bumbung ‘soft top’ yang boleh ditanggalkan. Bumbung berkenaan diklipkan pada sangkar perlindungan yang dibina secara kustom.

Kemewahan turut ditampilkan pada bahagian dalaman, di mana upholsteri kulit berwarna perang perincian Emerald Green membaluti kerusi Recaro, stereng dan papan pemuka. Komponen-komponen seperti pemegang pintu, tombol gear, brek parkir, pedal dan kluster instrumen pula disalut dengan krom.

Defender ini dikuasakan oleh enjin 6.2-liter keluaran General Motors yang hadir dengan penutup gentian karbon dan sistem ekzos sport . Jumlah output tidak dinyatakan, namun Overfinch mendedahkan jentera ini boleh memecut sehingga 177km/j.

Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik dan sistem pacuan empat roda. Sistem brek yang digunakan mempunyai enam omboh di hadapan dan empat omboh di belakang.

;