Platform eDagang, Lazada Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk mempertingkatkan kesedaran pentingnya kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint System: CRS) dalam mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Satu inisiatif daripada perjanjian itu, Lazada Malaysia melancarkan program Car Seat Assurance – iaitu senarai khusus produk-produk CRS di LazMall yang menepati spesifikasi piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) ECE R44/04 dan ECE R129. Kerjasama berkenaan dijalin bersempena dengan penguatkuasaan penggunaan CRS bermula 1 Januari tahun hadapan.

Ketua Pegawai Perniagaan Lazada Malaysia, Kevin Lee berkata, menerusi program Car Seat Assurance Lazada, pihaknya dapat menyediakan pilihan produk CRS yang menepati piawaian lebih mudah untuk melindungi kanak-kanak.

“Maka kami menyediakan pilihan produk kerusi keselamatan dari lingkungan harga yang berbeza untuk semua keperluan individu daripada pelbagai peringkat umur.

"Ini juga dapat meningkatkan penggunaan CRS dan sekali gus mengurangkan kematian akibat kemalangan yang membabitkan kanak-kanak,” katanya.

MoU itu ditandatangani antara Kevin dan Ketua Pengarah MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.

Sementara itu, Siti Zaharah berkata, pihaknya berharap program Car Seat Assurance Lazada boleh mendidik lebih ramai ibu bapa tentang kepentingan penggunaan CRS dan memilih produk sesuai dengan menepati Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak di Malaysia.

“Kita juga perlu mengubah persepsi bahawa kerusi keselamatan yang memenuhi piawaian adalah mahal, dan membolehkan rakyat Malaysia membeli produk CRS dari mana sahaja mereka berada,” katanya.

Kerusi keselamatan di bawah program ini boleh dikenal pasti melalui ikon program Car Seat Assurance Lazada, di mana produk-produk itu sudah menjalani proses pemilihan yang teliti.

Lazada menjamin bahawa setiap kerusi keselamatan dilabel ikon itu dijual oleh peniaga yang mengemukakan salinan sijil UNR44 atau UNR129 bersama laporan ujian pelanggaran.

Kini, lebih 40 model produk daripada 6 jenama tempatan dan antarabangsa yang dilabel ikon Car Seat Assurance boleh didapati di LazMall dengan lingkungan harga dari RM100 ke RM1,599.