Lexus ES kini diberi penambahbaikan untuk pasaran Amerika Syarikat di mana buat pertama kalinya, sedan saiz pertengahan itu mendapat sistem pacuan semua roda (AWD) dan varian Black Line Special Edition yang terhad kepada 1,500 unit sahaja.


Ditawarkan pada varian ES 250, sistem Dynamic Torque Control AWD boleh memberikan tahap cengkaman yang lebih tinggi semasa menaiki bukit atau memandu di atas permukaan jalan yang licin dengan menyalurkan hingga 50% tork ke roda belakang.


Apabila AWD tidak diperlukan, ‘coupling’ yang dikawal secara elektromagnetik pada gandar belakang akan dilepaskan bagi meningkatkan kecekapan bahan api. Menurut Lexus, penggunaan sistem AWD tidak menjejaskan ruang kaki dan but serta aspe keselesaan di dalam kabin. Malah, suspensi juga tidak memerlukaan sebarang talaan khas.


Sementara itu, varian Black Line Special Edition pula menggunakan varian ES 350 F Sport sebagai asas. Ia boleh didapati dalam tiga warna iaitu Ultrasonic Blue Mica 2.0, Obsidian dan Ultra White, dengan upholsteri dua tona hitam dan putih berserta jahitan kelabu untuk ruang kabin.


Ciri unik untuk model edisi terhad ini adalah cermin sisi dan spoiler belakang berwarna hitam serta kemasan gelap untuk rim dan lug nut.


Bukan itu sahaja, setiap pembelian akan didatangkan dengan set bagasi Zero Halliburton yang merangkumi beg Medium Travel Case berukuran 26 inci dan beg Edge Lightweight 22 inci.


Untuk model tahun 2021, setiap varian ES dilengkapi dengan Lexus Safety System+ 2.0 secara standard. Ia merangkumi Lane Departure Alert with Lane Tracing Assist sebagai ciri utama, di samping All-Speed Dynamic Radar Cruise Control dan Road Sign Assist. Turut disertakan adalah Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert untuk varian Luxury, F-Sport dan Ultra Luxury.