Tempatan

Lexus Malaysia lancar dua model baharu - ES dan RX yang tampil menarik, lebih selamat dan selesa

gempak
Erywan
25/09/2019
03:24 MYT
Sponsor Banner
Lexus Malaysia lancar dua model baharu - ES dan RX yang tampil menarik, lebih selamat dan  selesa
Lexus Malaysia memperkenalkan dua kenderaan mewahnya menerusi Lexus ES Serba Baru dan Lexus RX Baru untuk pasaran tempatan.
Kedua-dua model berkenaan menerima pembaharuan dan dikemaskini dari aspek reka bentuk serta juga kelengkapan keselamatan serta keselesaan.
Dengan kecanggihan yang ditampilkan, Lexus meneruskan janjinya untuk memberikan pengalaman menakjubkan bagi pelanggan, dan dalam masa yang sama memenuhi permintaan serta jangkaan keperluan mereka di masa hadapan.
Lexus ES Generasi ke-7 Serba Baru
Sebagai satu daripada model teras sejak kelahiran Lexus pada 1989, ES kekal menjadi model sedan mewah paling popular jenama itu, dengan sejumlah 2.3 juta unit terjual diperingkat global sepanjang tempoh 30 tahun.
Model itu adalah generasi ketujuh ES dan menjadi penanda aras terbaru kepada reka bentuk yang dihasilkan Lexus dengan menawarkan kualiti emosi yang lebih mapan.
Menterjemahkan tema "Provocative Elegance", ES generasi baru itu menampilkan rekaan yang menerapkan semangat sporty yang pintar, disumbangkan terutamanya oleh garis bumbung lebih rendah di belakang yang memberikannya imej seakan sebuah coupe.
Ini sesuatu yang tiada pada ES generasi sebelumnya; rekaan baru itu ternyata lebih sporty, bukan sahaja dari sudut penampilan tetapi turut menyumbang kepada sisi aerodinamik yang lebih cekap.
Ia juga dibangun menggunakan casis serba baru yang bukan hanya membolehkan penampilan lebih dinamik diberikan kepadanya, tetapi juga prestasi pemanduan lebih jitu.
Bahagian dalam, ES generasi terkini dilengkapi dengan ciri dan inovasi keselamatan dan menjadikannya sebagai sedan eksekutif mewah yang paling selamat dan dinamik dalam kelasnya.
Keselesaan ruang dipertingkat bagi semua penumpang dengan jarak pemisah bersebelahan 1,022 mm, serta ruang kabin yang lebih luas dan senyap. Tempat duduk belakang juga diberikan larasan kuasa elektrik untuk memudahkan penumpang.
Bahagian kokpit lebih memberi tumpuan kepada pemandu, dengan ruang dan tataletak yang menampilkan tahap kemasan dan kehalusan yang baru. Banyak perhatian diberikan kepada perincian kualiti dan penyudah ruang kabin. Ia kini menjadi lebih tenang dan aman menjadi unsur utama bagi layanan omotenashi yang diterapkan pada model-model Lexus.
Bagi ciri keselamatan, ia dilengkapi dengan versi terkini Lexus Safety System + (LSS+), yang hadir dengan pakej termaju merangkumi teknologi keselamatan aktif, menjadikannya satu daripada kereta sedan eksekutif mewah yang paling selamat di dalam kelasnya.
Jentera sedan mewah itu menggunakan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris (A25A-FKS) yang menghasilkan kuasa sebanyak 204hp pada 6,600 rpm dan tork maksimum sebanyak 247Nm pada 5,000 rpm.
Lengkap dengan VVT-iE (Variable Valve Timing - Intelligent by Electric Motor) dan padanan transmisi automatik lapan kelajuan Direct Shift yang menampilkan Artificial Intelligence Shift Control. Sistem janaan kuasa ini menawarkan pecutan yang bersahaja dengan kecekapan tinggi.
ES didatangkan dalam dua varian iaitu ES250 Premium dan ES 250 Luxury yang masing-masing dijual pada harga bermula RM299,888 (Premium) dan RM322,888 bagi varian Luxury.
Lexus RX Baru
Dengan rekaan yang tersendiri dan menonjol, Lexus RX terus menjadi satu daripada SUV paling popular dalam pasaran. Ia tidak hanya menjadi model penting dalam barisan kenderaan Lexus, tetapi turut menyumbang di dalam menyemarakkan lagi segmen SUV mewah sejak pertama kali diperkenalkan pada 1998.
Jentera itu diberi rekaan baru yang lebih segar, menampilkan teknologi keselamatan terkini dan dipertingkat dengan sistem multimedia dan skrin sentuh yang boleh dihubungkan terus kepada telefon pintar.
Di luar, model berkenaan menampilkan sentuhan rekaan yang memikat sekaligus kuat, memberikan penampilan agresif, keteguhan serta dalam masa yang sama, kekal kaya dengan ciri mewah.
Bahagian bampar depan dan belakang antara yang menerima rekaan baru yang dimaksudkan, membantu memberikan penampilan lebih dinamik kepada RX baru ini.
Tambahan terbaru bahagian spindle grille berserta lampu utama yang lebih tirus dengan DRL memberikan ketajaman baru untuk wajah depannya. Di belakang, kombinasi lampu dalam bentuk "L" mewakili penekanan terhadap jenama Lexus.
Bahagian kokpit juga memberi lebih tumpuan terhadap pemandu, dan diperkemas dengan sistem multimedia dengan skrin sentuh serta sambungan ke telefon pintar melalui Android Auto dan juga Apple CarPlay.
Naik taraf lain termasuk adanya paddle shifter, pemegang telefon pintar di konsol tengah serta dua slot USB di depan dan juga di belakang. Untuk lebih kemudahan kepada penumpang, pengecas tanpa wayar turut disediakan.
Dari sudut keselamatan, ia dilengkapi ciri Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS) jenis BladeScan ™ yang pertama di dunia, yang menghasilkan pencahayaan lebih luas untuk membolehkan pemandu kekal dengan mod lampu tinggi tanpa menyilaukan mata pemandu yang datang dari arah bertentangan. Selain itu, RX baru ini juga dilengkapi dengan pakej keselamatan Lexus Safety System + (LSS+).
Ia ditawarkan dengan tiga varian membabitkan RX 300 Premium, RX 300 Luxury dan RX 300 F Sport yang masing-masing berharga bermula RM399,888, RM424,88 serta RM439,888. Bagi varian RX350 dan RX450, ia sudah tidak ditawarkan buat pasaran Malaysia bagi model ini.
Semua varian RX 300 dikuasakan dengan enjin 2.0 liter yang turut menggunakan twin-scroll turbocharger. Ia menyalurkan 235hp bermula 4,800rpm dengan tork setinggi 350Nm antara 1,650 sehingga 4,000rpm.
Enjin berkod 8AR-FTS itu dipadankan transmisi automatik enam kelajuan yang menggunakan pertukaran Super Electronically Controlled Transaxle dengan AI untuk pemanduan lebih lancar.
Pada masa sama, ia ditawarkan tiga mod pemanduan, manakala varian F Sport mempunyai empat mod pemanduan.
Bagi memberi ketenangan minda kepada pemiliknya, kedua-duanya didatangkan dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live