Tempatan

Lexus NX300 2019 ada ciri Lexus Safety System +. Apa tu?

Erywan
19/06/2019
08:32 MYT
Selepas empat tahun memperkenalkan Lexus NX di negara ini, kini ia hadir dengan ciri keselamatan yang lebih canggih berbanding sebelumnya.
Ia ditawarkan dengan tiga varian berbeza membabitkan NX300 Premium, NX300 Urban dan NX300 F-Sport. Ketiga-tiganya akan berada di semua bilik pameran Lexus di Malaysia bermula 22 Jun ini.
Apa yang membezakan dengan model terdahulu adalah Lexus Safety System + (LSS+), ia adalah ciri keselamatan aktif ke satu tahap yang lebih tinggi dan menjadi model pertama Lexus menggunakan sistem itu.
Pakej bersepadu sistem keselamatan berkenaan direka untuk mendorong kesedaran pemandu, membantu membuat keputusan dan mengawal operasi kenderaan dalam julat kelajuan yang luas dan pelbagai keadaan.
Ciri utama pada LSS+ membabitkan:
  • Sistem Pra-Perlanggaran (PCS) dengan Bantuan Brek Pra-Perlanggaran,
  • Bantuan Pengesan Lorong (LTA)
  • Amaran Pertukaran Lorong (LDA).
  • Bantuan Belokan Aktif (ACA)
  • Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC)
Untuk pengetahuan anda, DRCC boleh mengubah kelajuan untuk mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan. Ia juga tidak hanya berkesan ketika kenderaan bergerak, sebaliknya turut berfungsi sehingga 0 km/j, membolehkannya membantu pemandu dalam keadaan trafik sesak di dalam bandar tanpa memerlukan apa-apa input daripada pemandu sendiri.
Ciri keselamatan lain yang tersedia termasuk Amaran Sokongan Parkir dan Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS) yang dapat membantu mengelakkan silau pada kenderaan dari arah bertentangan. AHS dilengkapi 11 cip lampu LED pada sisi lampu depan bagi membolehkan pencahayaan dimatikan/dihidupkan untuk agihan lampu lebih tepat.
Bagi varian NX300 F-Sport pula dilengkapi dengan sistem Suspensi Pembolehubah Adaptif (AVS), manakala NX300 Premium turut mempunyai ciri Peninjau Titik Buta (BSM) dan sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).
Pada masa sama, ia dilengkapi lapan beg udara SRS yang dipasang pada kabinnya untuk pelindungan pasif bagi semua penumpang. Selain itu, tapak ISOFIX untuk kerusi keselamatan kanak-kanak juga mudah dikesan dan digunakan, tersedia pada tempat duduk barisan kedua.
Luarannya, Lexus NX 2019 kekal dengan tema rekaan Urban Sport Gear, dengan rekaan jeriji spindle yang menjadi tanda khusus bagi jenama Lexus. Lampu isyarat berturutan baru pula menyumbang kepada penampilan terkini yang lebih dinamik.
Selain itu, Lexus NX300 F-Sport juga menggunakan rekaan jeriji sama, tetapi dalam warna hitam seperti yang ada pada model Lexus RC-F serta menampilkan corak F-mesh eksklusif untuk model F-Sport.
Bagi varian Lexus NX300 Urban dan NX300 Premium, ia menggunakan rim 18 inci aloi dengan dua tona warna premium. Bagi Lexus NX300 F-Sport, walaupun rim yang digunakan sama saiz, ia menerima kemasan penyudah Dark Premium Metallic dengan saiz tayar yang lebih lebar; 235/55R18 yang menyumbang kepada pemanduan lebih dinamik.
Ruang dalaman disempurnakan lagi dengan kedudukan suis dan butang kawalan yang mudah dicapai. Pusat kawalan sistemnya terletak pada panel paparan lapan inci yang ada di tengah. Antaramuka Sentuhan Jauh (RTI) pula sudah berkembang dan menjadi lebih mesra pengguna.
Menyentuh berhubung prestasinya, ketiga-tiga varian itu dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder petrol (8AR-FTS) yang menghasilkan sebanyak 235 hp antara 4,800 rpm hingga 5,600 rpm, sementara tork pula sebanyak 350 Nm antara 1,650 rpm hingga 4,000 rpm.
Ia digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan berturutan (6 Super ECT) dengan kawalan Torque Demand, memberikan maklum balas dan kuasa memecut yang lebih lancar.
Sistem G-Force Artificial Intelligence (G-AI) pula memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan dengan cara membantu memilih kedudukan gear optimum dan corak menurunkan gear sebagai maklum balas kepada G-force.
Model ini turut dilengkapi dengan ciri AWD Kawalan Tork Dinamik bagi memberikan prestasi pemanduan yang optimum serta kestabilan kawalan dan penjimatan penggunaan bahan api.
Pemandu juga boleh memilih antara mod pemanduan yang terdiri daripada Normal, ECO dan Sport melalui tombol Drive Mod Select di tengah. Pada varian NX300 F-Sport, mod tambahan Sport S+ turut tersedia, memberikan prestasi pemanduan yang lebih sporty dengan ciri Suspensi Pembolehubah Adaptif (AVS).
Bagi memberi pilihan, ia didatangkan warna Blazing Carnelian, Amber CS, Sonic Titanium, Sonic Quartz, Graphite Black GF, Red MC CS dan Sparkling Meteor ME. Bagi NX300 F-Sport pula, ia turut ditawarkan dalam warna khas Heat Blue CL atau Lava Orange CS.
Harga atas jalan tanpa insurans mengikut varian:
Lexus NX300 Urban-RM313,888.
Lexus NX300 Premium-RM333,888.
Lexus NX300 F Sport-RM349,888.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Berita

Lexis Hibiscus Port Dickson Beri Kenyataan Susulan Individu Maut Ketika Mengendalikan Pertunjukan Bunga Api Sempena Sambutan Tahun Baharu

gempak
02/01/2024
09:55 MYT
Salam takziah kepada keluarga mangsa.
drebar

Lexus ES 250 Kini Ditawarkan Varian F SPORT, Sedan Mewah Sporty Dijual Bermula RM345,134

gempak
15/10/2021
05:44 MYT
Beberapa aspek rekaan juga diperbaharui dan tampil lebih segar bagi melengkap bayangan gaya coupe.
drebar

Lexus LC 500 Convertible, Lulus Ujian Beku Sehingga -18 Celsius

gempak
04/06/2021
04:05 MYT
Ia dilakukan untuk melihat jika komponen-komponen seperti sistem penyaman udara dan pemanas, tempat duduk dan stereng sama ada terjejas sekiranya terdedah kepada cuaca sejuk yang ekstrem.
drebar

Lexus LM 350 - MPV Paling Mahal Di Malaysia, RM1.148 Juta Sahaja

gempak
16/04/2021
04:24 MYT
MPV 4 tempat duduk yang betul-betul super mewah!
drebar

Lexus 300 Luxury Special Edition dan ES Limited Edition Dibuka Untuk Tempahan

gempak
12/01/2021
08:01 MYT
Harga SUV dan sedan mewah itu masing-masing bermula RM421,909 serta RM327,510.