Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Lexus Tawar Versi Black Line Untuk RX - Beri Imej Sporty

Erywan
28/08/2020 07:12 MYT
Selepas memperkenalkan GS Black Line pada April lalu, Lexus Amerika Syarikat kini kembali dengan ahli terbaru rangkaian model Black Line iaitu RX. Ia ditawarkan pada varian RX 350 dan RX 450h dengan trim F Sport.


Boleh didapati dalam warna Ultra White dan Grecian Water, RX Black Line hadir dengan rim 20 inci berwarna hitam, serta beberapa lagi komponen dalam warna yang sama iaitu jeriji, cermin sisi, lencana F-Sport dan grafik pada bahagian bawah pintu.


Ia juga dilengkapi dengan peredam prestasi pada gandar hadapan dan belakang untuk pengendalian yang lebih mantap.


Di dalam, model ini menampilkan tempat duduk hitam dengan aksen putih dan jahitan kontras berwarna biru, serta set karpet dan sarung kunci eksklusif Black Line. Meter F Sport, balutan kulit pada tombol gear, trim aluminium dan set pedal aluminium turut disertakan sebagai sebahagian daripada pakej F Sport.


Seperti model Black Line yang lain, setiap pembelian RX Black Line didatangkan dengan set bagasi Zero Halliburton yang merangkumi dua buah beg iaitu Edge Lightweight berukuran 22 inci dan Medium Travel Case berukuran 26 inci. Kedua-duanya berwarna hitam dan mempunyai logo krom dengan ukiran laser ‘Zero Halliburton for Lexus’.


Bagaimanapun, selain penambahan peredam tersebut, model RX Black Line tidak mendapat apa-apa penambahbaikan dari segi prestasi.


RX 350 kekal dengan enjin 3.5 liter V6 dan transmisi automatik lapan kelajuan yang menghasilkan 295hp, manakala RX 450h pula masih dikuasakan oleh gabungan enjin 3.5 liter V6 dan motor elektrik dengan janaan kuasa keseluruhan sebanyak 308 hp.

;