Syarikat talaan Jepun, Liberty Walk yang terkenal dengan menawarkan kit badan kenderaan lebih agresif kini mempunyai produk baharu untuk Toyota Supra A90.


Seperti model-model talaan Liberty Walk yang sebelum ini, Toyota Supra itu mempunyai beberapa kit badan tambahan untuk membuatkan ia lebih menyerlah.


Ia membabitkan kit fender yang lebih lebar, selain dipadankan lip hadapan supaya kenderaan tampak rendah. Di bahagian belakang pula, penggunaan spoiler tinggi dan lebar serta dipadankan diffuser. Kehadiran kit badan itu membuatkan jentera berkenaan lebih aerodinamik dan sangat rendah berbanding model standard.


Untuk memilikinya, Liberty Walk menawarkan beberapa harga yang berbeza. Ini kerana ia dijual pada USD 14,850 (RM63,409) untuk material gentian kaca, manakala gentian karbon berharga USD 15,850 (RM67,679).


Pelanggan juga boleh menambahkan hud hadapan dengan mempunyai lubang angin yang menjadikan ia berharga USD 17,930 (RM76,561) untuk gentian kaca, manakala gentian karbon dijual USD 19,030 (RM81,258).


Toyota Supra yang diperkenalkan menerusi versi dipertingkatkan pada April lalu. Ia menggunakan enjin twin-turbo 3.0-liter enam silinder sebaris yang dipertingkatkan bagi menghasilkan 382hp dan 500Nm, iaitu 47hp atau 14 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.


Hasilnya, pecutan 0-100km/j dilengkapkan dalam masa yang lebih singkat iaitu dari 4.1 kepada 3.9 saat. Bukan itu sahaja, Toyota turut menjanjikan pengendalian yang lebih baik menerusi sistem suspensi yang ditala semula dan pendakap pada bahagian hadapan.