Sebuah kereta perlumbaan klasik Le Mans berjaya dijual pada harga £56,000 (RM297,780) menerusi acara bidaan walaupun secara fizikalnya ia masih dalam keadaan terlerai.

Harga itu menjangkaui sasaran awal antara £45,000 (RM239,290) dan £55,000 (RM292,460).


Model Lotus Elite 1959 itu pernah dimiliki oleh juruterbang Battle of Britain Spitfire iaitu James Richard Stoop atau lebih popular dikenali sebagai Dickie.

Juruterbang RAF dikenali dengan minat mendalam terhadap dunia permotoran dan dia memasukkan jentera itu dalam perlumbaan selama 24 jam itu selepas 11 hari membeli kereta Lotus berkenaan.


Dickie menjadi pelumba kereta selepas perang tamat, tetapi keretanya tidak pernah melepasi garisan penamat selepas ia terbabit dalam kemalangan.

Kejadian berlaku ketika jentera itu menuju pulang dari trek selepas satu sesi latihan perlumbaan.

Dickie yang pernah menerbangkan dua jet tempur iaitu Spitfires dan Hurricanes ketika Perang Dunia Kedua kemudiannya membaik pulih kereta itu sebelum menjualnya kepada pelumba Porsche, Patrick Guy Godfrey pada 1966.


Sejak itu, Lotus ini pernah berpindah tangan beberapa kali dan pemilik terakhir meleraikannya sebagai persediaan untuk kerja restorasi.

Bagaimanapun, pemilik terakhir itu meninggal dunia sebelum kerja-kerja sempat dilakukan dan kini, kereta dua pintu dalam keadaan terlerai sebelum dilelong oleh Historics dari Iver, Buckinghamshire pada 18 Mei lalu.

Sumber: Mail Online