Modifikasi

Luar biasa! Mizuki, jentera drag 70-an menanti pemenang cabutan bertuah AOS 2019

gempak
Erywan
19/07/2019
04:13 MYT
Sponsor Banner
Luar biasa! Mizuki, jentera drag 70-an menanti pemenang cabutan bertuah AOS 2019
Selepas RX-Z Twin Boss dan Papa Jahat, kini tiba pula masanya untuk Mizuki iaitu sebuah kereta kustom Mini Cooper dengan menggunakan enjin Suzuki Hayabusa untuk dijadikan habuan cabutan bertuah pada acara tahunan Art of Speed (AOS) Malaysia 2019.
Buat pengetahuan anda, ini boleh dianggap satu hasil kerja yang cukup mencabar dan ‘gila’. Ini berikutan banyak proses yang perlu diubah suai bagi memastikan Mizuki boleh dipandu seperti biasa.
Namun untuk pengetahuan anda, kenderaan itu tidak dibenarkan memandu di jalan raya biasa dan hanya boleh dipandu di litar lumba kerana ia adalah kereta berkonsepkan jentera Drag era 70-an.
Pengasas dan pemilik Art Of Speed, Asep Ahmad Iskandar berkata, ketika ini, proses ubah suai dan baik pulih jentera itu sudah pun mencapai hampir 40 peratus untuk disiapkan.
Menurutnya, proses pembinaan Mizuki diserahkan kepada Mohamad Irwann Mohd Azlan atau lebih dikenali sebagai Irwann Cheng dari FNG Works yang terletak di Ipoh, Perak.
“Pembinaannya sudah pun mengambil masa enam bulan kerana ia sangat sukar dan merumitkan apabila banyak komponen yang digunakan perlu dibina khas sepenuhnya.
“Enjin jentera ini diambil dari model Suzuki Hayabusa keluaran 1999, dan diletak pada kerangka tiub kustom pada ruang but serta tempat duduk belakang,” katanya.
Asep berkata, Mizuki adalah jentera pacuan roda belakang yang mana ia menggunakan gandar daripada Perodua Rusa.
Katanya, kuasa daripada enjin Hayabusa berkapasiti 1,300cc itu akan disalurkan ke transmisi enam kelajuan berurutan (sequential), tetapi ia tidak mempunyai gear undur buat masa sekarang.
“Bagi mengikut konsep jentera Drag 70-an, Mizuki menggunakan tayar slick dengan lebar 10 inci yang dipadankan rim bersaiz 13 inci.
“Prestasinya pula, kami menyasarkan ia boleh mencatat masa kurang daripada 11 atau 10 saat bagi jarak suku batu,” katanya.
Ketika ditanya adakah Mizuki sempat disiapkan untuk AOS pada hujung bulan ini, Asep memaklumkan bahawa secara kasarnya jentera konsep Drag 70-an itu boleh dipandu pada acara berkenaan.
“Kami pastikan jentera ini boleh dipandu masuk ke dalam dewan pada acara berkenaan, cuma bahagian luaran yang tidak dapat disempurnakan sepenuhnya.
“Namun bagi pemenang cabutan bertuah itu, dia boleh memilih warna untuk dicatkan,” katanya.
Menurutnya, kos pembinaan jentera itu sudah pun mencecah hampir RM40,000.
Spesifikasi Mizuki
  • Kerangka luar: Mini Cooper keluaran 1976
  • Enjin: Suzuki Hayabusa keluaran 1999
  • Subframe belakang: Digantikan dan diperkuat dengan tiub kerangka
  • Tayar dan rim belakang: Rim 13 inci dengan tayar slick 10 inci lebar
  • Rim hadapan: 12 inci
  • Gandar belakang: Perodua Rusa kustom
  • Rangkaian pemacu: Pemacu rantai
  • Brek belakang: Honda EG kustom
  • Brek hadapan: Asal Mini Cooper
  • Suspensi belakang: D2 Motorsport boleh laras HLSH
  • Suspensi hadapan: Asal Mini Cooper
  • Tempat duduk: Kustom dibuat oleh Saidi Racing Fabrications
  • Roda stereng: Asal
  • Tangki bahan api: Mooneyes
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live