Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Lynk & Co 03 Cyan Concept cipta dua rekod di Nurburgring

Erywan
27/08/2019 03:50 MYT
Cyan Racing (dahulunya dikenali sebagai Polestar) berjaya memecahkan bukan satu tetapi dua rekod di litar Nurburgring dengan jentera Lynk & Co 03 Cyan Concept mereka, menjadikannya pengeluar dari China pertama yang melakukan pencapaian sedemikian.

Dikemudi oleh juara WTCC 2017 Thed Björk, jentera itu baru-baru ini mencatat masa 7 minit 20.143 saat sekali gus menobatkannya sebagai kereta empat pintu dan kereta pacuan roda hadapan terpantas di litar yang dikenali dengan jolokan ‘Neraka Hijau’ itu.



Menurut Cyan Racing, rekod itu dicatat di litar versi panjang berukuran 20.832km dan bukannya di litar versi pendek berukuran 20.6km seperti yang kerap dilakukan oleh pengeluar-pengeluar lain. Bagi litar versi pendek itu, kereta berkenaan mencatat masa 7 minit 15.123 saat.

Rekod terbaru ini meletakkan Lynk & Co 03 Cyan Concept tiga saat di hadapan pemegang rekod kereta empat pintu terpantas sebelum ini iaitu Jaguar XE SV Project 8. Dalam masa yang sama, ia juga berjaya mengalahkan kereta pacuan roda hadapan terpantas sebelum ini, Renault Megane RS Trophy-R, dengan perbezaan masa sebanyak 25 saat.



Dilengkapi dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder, Lynk & Co 03 Cyan Concept mempunyai 528hp pada 7,800rpm dan 540Nm dari 4,500 hingga 7,000rpm. Semua ini disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam kelajuan yang boleh dioperasikan melalui paddle shifter.

Di atas kertas, jentera ini memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.4 saat, atau 0 hingga 200km/j dalam 10 saat. Ia mempunyai kelajuan maksimum yang agak tinggi iaitu 310km/j.



Selain sistem suspensi boleh laras keluaran Ohlins, unit yang digunakan untuk catatan masa ini turut dilengkapi dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 dan rim berukuran 20 inci.
#Drebar #Lynk & Co
;