Bintang Gegar Vaganza 8 (GV8), Suki Low mengakui terbawa-bawa dengan emosi dan perasaan sebak ketika menyanyikan lagu Tanpa Kekasihku (Agnez Mo) pada konsert separuh akhir Ahad lalu.

Hal itu dedah Suki terjadi akibat teringatkan seorang individu penting yang sebelum ini pernah rapat dengan keluarganya namun kini telah tiada.

"Aksi saya melutut itu ketika membuat persembahan tempoh hari itu pun bukan di dalam perancangan saya dan sepatutnya berdiri saja sepanjang masa. Tetapi itu terjadi ikhlas dari hati saya.

"Saya berdoa untuk seseorang yang telah meninggalkan saya dan keluarga. Saya berharap dia akan menemui ketenangan di sana dan berharap untuk bertemu dengannya suatu hari nanti.

"Saya minta maaf sangat-sangat, saya tidak dapat mendedahkan siapa individu tersebut kerana ia terlalu berat untuk kedua ibu bapa saya tetapi apa yang saya boleh kongsikan, dia amat rapat dengan keluarga kami," katanya.

Dalam masa sama, Suki memohon maaf kepada peminatnya yang hampa dengan persembahan tersebut.

Sebenarnya minggu ini ia seperti roller coaster dan boleh dikatakan, segala persiapan persembahan bagaikan tidak lancar.

"Saya minta maaf kerana telah mengecewakan anda semua. Sudah tentu saya tidak mahu ia terjadi.

"Kalau ada salah dan silap sudah tentu saya yang bersalah sebab saya merupakan seorang individu yang inginkan terbaik kepada persembahan saya. Saya harap saya dapat lakukan yang terbaik masa peringkat akhir nanti," tambahnya.

Suki yang sebelum ini menampilkan prestasi cemerlang bagaimanapun berada di kedudukan berbahaya pada konsert separuh akhir GV8 apabila nyaris menjadi peserta yang tersingkit.

Berbekalkan markah 64.8%, kedudukan Suki terselamat apabila Ani Maiyuni dan Shidee menjadi bintang yang meninggalkan GV8.

GV8 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse dan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.

Teruskan menonton GV8 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.

Rangkaian program GV8 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’ yang akan disiarkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang bermula 15 November.

Bagi yang terlepas untuk menonton, program ‘Kompilasi Kapsul Gegar Vaganza S8’ akan disiarkan khas pada setiap hari Sabtu, jam 7.00 malam mulai 20 November 2021.

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV8’ bermula 21 November 2021.