PROTON mencatatkan bulan penjualan terbaik yang kedua pada tahun 2020 dengan jualan sebanyak 11,378 unit, penurunan 14 peratus dari Julai tetapi peningkatan sebanyak 24.7 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun 2019.

Pegangan pasaran untuk Ogos dianggarkan berada pada 21.6 peratus, manakala angka sejak awal tahun sehingga kini dianggarkan sebanyak 21.7 peratus.

Tiga model kereta PROTON berjaya mendahului jenama lain di segmen masing-masing manakala secara keseluruhan, jualan kini sudah mendahului angka tahun lepas sebanyak 46 unit.


Dengan pencapaian jualan sebanyak 61,672 unit setakat bulan Ogos 2020, PROTON sudah mengatasi jumlah jualan tahun lalu dalam tempoh yang sama sebanyak 46 unit.

Pencapaian ini amat bermakna kerana jualan kenderaan terjejas oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa pada bulan Mac, April dan Mei untuk membendung penularan wabak COVID-19.

Tiga model Proton berjaya mendahului jenama lain dalam segmen masing-masing. Proton Persona dan Proton Exora sekali lagi mencatat jualan tertinggi dan berjaya mempertahankan kedudukannya walaupun menghadapi persaingan sengit dari jenama lain. Sementara itu, Proton X70 kekal sebagai SUV terlaris di Malaysia, terus menerajui segmen ini.


Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pemulihan jualan PROTON selepas mengalami PKP amat mengagumkan kerana hanya tiga bulan untuk kembali ke landasan yang betul.

“Dengan pencapaian jualan kini sudah mengatasi prestasi 2019, pihak PROTON yakin boleh menangani cabaran dari wabak COVID-19.

“Kesan yang positif terhadap syarikat, pekerja dan pembekal tidak boleh dipandang rendah dan kami berharap untuk meneruskannya sehingga akhir tahun untuk memberikan impak yang besar terhadap ekosistem industri automotif,” katanya.