Antarabangsa
Makin Segak Dan Lebih Mewah Kia Carnival Ini
Kia mendedahkan sepenuhnya perincian mengenai MPV terbaru mereka iaitu Carnival generasi keempat. Ia akan memasuki pasaran Korea Selatan pada suku ketiga tahun ini sebelum diikuti dengan pasaran-pasaran lain.
Dibina berasaskan platform saiz-pertengahan baharu, Carnival tampil lebih premium berbanding sebelum ini dengan jeriji hidung harimau versi terkini, lampu nyalaan siang LED dan bar lampu pada bahagian belakang.
Kia menggelar model ini sebagai ‘Grand Utility Vehicle’ berdasarkan ukuran dimensinya yang lebih besar jika dibandingkan dengan model generasi ketiga. Ukuran panjang keseluruhan bertambah sebanyak 40mm kepada 5,155mm manakala jarak roda turut bertambah sebanyak 30mm menjadi 3,090mm.
Ditambah dengan ukuran badan yang lebih lebar sebanyak 10mm dan ‘overhang’ belakang yang lebih panjang sebanyak 30mm, Carnival kini mempunyai ruang kabin dan kapasiti but lebih besar iaitu 627 liter.
Bukan itu sahaja, ruang dalaman kelihatan lebih futuristik dengan adanya kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan skrin infotainmen dalam saiz yang sama, ditambah pula dengan penggunaan material berkualiti pada segenap sudut. Apple CarPlay, Android Auto dan Kia Live adalah antara ciri yang tersedia.
Di sebalik penampilan premium ini, Kia turut menambah baik aspek NVH dengan menggunakan lebih banyak bahan penebat bunyi di antara ruang enjin dan kabin. Sistem suspensi bebas yang digunakan bukan sahaja menjanjikan prestasi lebih senyap, malah ditala untuk keselesaan pemandu dan penumpang.
Enjin yang ditawarkan untuk Carnival adalah enjin 3.5-liter V6 GDI dengan 294PS dan 355Nm dan enjin 3.5-liter V6 MPi yang menjana 272PS dan 332Nm. Selain itu, MPV ini juga boleh didapati dengan enjin diesel Smartstream 2.2-liter dengan 202PS dan 440Nm. Ketiga-tiga enjin dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Bergantung pada pasaran dan spesifikasi, Carnival didatangkan dengan pelbagai sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Intelligent Speed Limit Assist (ISLA), Driver Attention Warning (DAW), Blind-Spot View Monitor (BVM), High Beam Assist (HBA), Smart Cruise Control (SCC) dan pelbagai lagi.
Must-Watch Video