Firma talaan Jerman, Mansory kini muncul dengan satu binaan istimewa Ford GT yang dinamakan semula sebagai Ford GT Le Mansory.

Ini satu tawaran yang terlalu kompetitif dan mustahil bagi rata-rata peminat automotif untuk cuba memilikinya kerana Mansory hanya akan bina tiga unit kereta istimewa itu.


Hanya tiga manusia akan menjadi individu paling bertuah dunia selepas membeli kereta ini, itu pun jika anda seorang peminat hasil kerja pihak Mansory. Kenapa hanya tiga dan bukan lebih lagi?


Mansory dalam satu kenyataan mengesahkan hanya tiga unit di bawah motto satu kereta untuk setiap dekad. Usia syarikat Mansory ialah 30 tahun atau 3 dekad dan sebab itulah hanya 3 kereta dibina. Tahun ini ialah ulangtahun ke-30 Mansory.


Ford GT ini bukan hanya menerima kit badan baharu tetapi Mansory melakukan kerja-kerja modifikasi pada enjin untuk mengekstrak kuasa 700hp dengan tork maksimum 840Nm. Jika merujuk data standard Ford GT, ia menjana kuasa kuda 647hp dan tork puncak 746Nm.


Mansory menyatakan dengan perubahan prestasi enjin dan penggantian komponen badan, kereta ini mencatat kelajuan maksimum lebih tinggi iaitu 354 kilometer sejam (km/j) berbanding 348km/j (versi standard kilang).


Semua panel pada kereta ini diperbuat daripada gentian karbon dengan fender ditingkatkan kadar keluasan sekali gus membantu melebarkan lagi saiz kenderaan sebanyak 5 sentimeter.


Supercar ini disaluti warna kustom iaitu Bleurion Race dan jurusolek Mansory menggunakan tekstur karbon pada bahagian depan kereta untuk menjadi kontras hiasan.


Set lampu LED depan juga dibina oleh syarikat dan terbahagi kepada empat lampu berasingan. Rim kereta juga baharu iaitu jenus YN.5 berukuran 9x21 inci di depan dan 12x21 untuk roda belakang. Tayar digunakan adalah jenis Continental Sport Contact 6.


Badan kereta juga ada hiasan corak bendera berkotak-kotak khususnya pada bahagian sayap sisi dan belakang. Sistem ekzos digunakan adala jenis tiga muncung. Cuma, tiada maklumat tentang harganya.