Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Maruti Suzuki Umum Pelan Masa Depan Jimny, Akan Ada Pilihan 5-Pintu

Erywan
09/06/2021 08:58 MYT
Sebelum ini ada khabar angin menyatakan Maruti Suzuki di India merancang memperkenalkan Suzuki Jimny 5-pintu penghujung tahun ini.

Terkini menerusi Autocar India, pengedar rasmi jenama berkenaan siap sedia memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu terbabit dan sedang merancang pelan pemasaran Jimny buat pasaran India.

Menerusi temubual bersama Pengarah Eksekutif Jualan dan Pemasaran Maruti Suzuki India, Shashank Srivastava berkata pihaknya masih menjalankan penyelidikan berkaitan harga Jimny di India atau sama ada terdapat perubahan khusus kereta di India dan lainnya.


"Kami belum memutuskan garis masa pelancarannya. Selepas selesai, kami akan beritahu anda," katanya.

Penyediaan pelan rancangan pemasaran adalah petunjuk kuat kehadiran Jimny di India dan kemunculan model berkenaan dalam masa terdekat. Maruti Suzuki memasang Jimny baharu di kemudahan mereka selama beberapa bulan dan mengeksport sejumlah besar unit ke pasaran antarabangsa.

Dalam perjumpaan pelabur awal tahun ini, Maruti Suzuki mendedahkan bahawa penilaian untuk membawa masuk Jimny ke India sedang berlangsung. Tetapi, untuk pertama kalinya Srivastava mengesahkan pelancaran Jimny.


Seperti laporan sebelum ini, Jimny India akan menerima perubahan khusus dan Maruti Suzuki aktif mengumpul maklum balas dari pelanggan dan melakukan penyelidikan pasaran mengenai posisi harga.

Selain itu, Srivastava menyatakan pihaknya memasang Jimny di India untuk pasaran eksport dua hingga tiga bulan lalu. Jimny untuk pasaran India kemungkinan besar bakal menerima versi 5-pintu yang masih dalam pembangunan. Sumber memberitahu Jimny 5-pintu akan melakukan debut bersama versi facelift (3-pintu) tahun depan.

Maruti Suzuki akan membina Jimny 5-pintu di samping versi standard yang sudah dipasang di India. Jimny 5-pintu akan dilengkapi dengan enjin petrol K15B 1.5 liter dengan kuasa 102hp serta diharapkan menerima gabungan versi teknologi hibrid pintar Maruti. Pilihan kotak gear akan merangkumi 5-kelajuan manual dan 4-kelajuan automatik.


Maruti dijangka akan menjual Jimny 5-pintu pada harga anggaran sekitar Rs 10-12 lakh (RM56k-RM68k) dan pengenalan model terbabit dijangka awal 2022. Bagaimana pula dengan pasaran tempatan, seperti mana kita tahu pengedar rasmi terkini jenama Suzuki di Malaysia adalah Naza Eastern Motors.

Model pertama yang dibawa masuk adalah Suzuki Swift Sport dan adakah model Jimny bakal berada di bawah senarai produk baharu akan datang Naza Eastern Motors?. Sama-sama nantikan.

;