Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Maserati Dedah Model Kedua Hibrid, Kini Giliran Levante

Erywan
20/04/2021 03:13 MYT
Maserati melangkah setapak lagi ke arah elektrifikasi menerusi pengenalan Levante Hybrid di acara Auto Shanghai yang kini sedang berlangsung di Shanghai, China. Ia merupakan model hibrid kedua buat pengeluar itu, selepas Ghibli Hybrid yang dilancarkan pada Julai tahun lalu.

Sumber kuasa bagi kedua-dua model ini adalah sama, iaitu gabungan enjin turbo 2.0-liter empat silinder dan sistem hibrid ringkas (mild hybrid) 48 volt yang ditugaskan untuk mengecas semula bateri semasa kenderaan memperlahan dan membrek.


Dengan kuasa keseluruhan berjumlah 330hp dan 450Nm dari 2,250 rpm, serta pacuan semua roda (AWD), Levante Hybrid boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam enam saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 240km/j.

Menurut Maserati, model terbaharunya ini lebih ringan berbanding varian petrol dan diesel enam silinder. Ditambah dengan kedudukan bateri yang diletakkan pada bahagian belakang untuk mencapai keseimbangan, ia dikatakan lebih seronok dipandu berbanding kedua-dua versi terbabit.


Dari segi penampilan, unit yang ditampilkan ini memperagakan warna metalik tiga lapisan baharu yang dikenali sebagai Azzurro Astro. Warna ini merupakan sebahagian daripada koleksi yang ditawarkan menerusi program kustom Maserati Fuoriserie.

Sebagai sebuah model hibrid, ia juga menampilkan perincian biru pada bahagian sisi, angkup brek dan logo pada tiang C. Warna yang sama turut digunakan pada sulaman pada tempat duduk depan dan belakang.


Antara kelengkapan standard lain yang disertakan pada model ini adalah panel instrumen digital berukuran tujuh inci dan skrin infotainmen 8.4 inci yang boleh disambungkan pada telefon pintar atau jam pintar menerusi aplikasi Maserati Connect.

#Maserati
;