Peluang memandu Mazda CX-5 memberi satu pengalaman baharu buat penulis dalam segmen kenderaan utilti sukan (SUV) jenama negara matahari terbit.

Memang tidak boleh dinafikan bahawa SUV yang memasuki pasaran Malaysia pada hujung tahun lalu itu memiliki ciri berbeza dan boleh dianggap paling premium dalam segmennya.

Jika mahu dibandingkan dalam segmen SUV jenama buatan Jepun, ia akan bersaing dengan Honda CR-V kerana model itu mempunyai lima tempat duduk.

Ia sebenarnya tidak sesuai untuk dibandingkan dengan Nissan X-Trail atau Mitsubishi Outlander yang mempunyai tujuh tempat duduk, boleh kata ia berbeza segmen biarpun dalam kategori SUV.

Apa yang sebenarnya ada Mazda CX-5 ini, ia boleh dikatakan selaku model paling popular jenama Mazda, selain pernah menerima pelbagai anugerah pada peringkat antarabangsa.

Penampilan yang agresif

Dari segi reka bentuknya, penampilan cukup berbeza berbanding generasi sebelumnya dengan menjalani perubahan drastik sekali gus memberi imej cukup garang.

Rekaannya masih lagi menerapkan reka bentuk KODO: Soul of Motion Mazda dengan penampilan elegan yang mana ia boleh dilihat pada jeriji gaya sarang lebah serta tanda tangan sayap Mazda krom tetapi hadir rekaan baharu.

Lebih menariknya, perumah lampu utama lebih nipis yang tampak bergaya, manakala belakang kelihatan pula hadir rekaan dua lapisan untuk tampak menarik.

Ruang kabin premium

Menjengah ke ruang kabinnya, apa yang penulis boleh katakan ia tampak premium dengan padanan material berkualiti.

Ciri premium yang boleh dilihat pada ruang kabin selepas dipadankan dengan 85 peratus material lembut seperti menggunakan bahan kulit, jahitan, kayu serta kemasan besi.

Ketika berada di ruang kokpit, mata penulis cukup terpegun melihat papan pemuka yang lebih simetrikal dan memberi lebih fokus kepada pemandu.

Ini bermakna ia akan memberi pemandangan yang lebih luas pada bahagian hadapan dan akan rasa kurang letih ketika memandu dalam jarak jauh.

Konsol dinaikkan sedikit supaya lebih ergonomik dan pada masa sama sistem hiburan MZD CONNECT direka semula serta diletak pada bahagian atas papan pemuka iaitu selari dengan garis pandangan pemandu.

Pengendalian dan prestasi

SUV yang diberikan kepada penulis ini adalah varian tertinggi iaitu SKYACTIV 2.5L. Jadi, inilah enjin yang paling besar dalam keluarga Mazda CX-5.

Ia menggunakan enjin bersesaran 2,488cc yang menyalurkan 192hp dengan tork setinggi 257Nm. Kuasa daripada enjin itu disalurkan ke transmisi enam kelajuan automatik yang turut dilengkapi mod penukaran manual.

Dari segi prestasi 0-100km/j, ia tidaklah rasa ‘power’ macam kereta sport, tetapi apa yang penulis rasa, kuasa yang dibekalkan membuatkan SUV ini rasa ringan berbanding model-model lain.

Cuma satu perkara yang membuatkan penulis rasa teruja dengan Mazda CX-5 ini adalah kestabilan dan keselesaannya.

Mana tidaknya, ketika penulis memandu melebihi kelajuan 160 kilometer sejam (km/j), penumpang disebelah penulis bertanya “kenapa bawa slow sangat ni” dan ketika itu matanya sedang tertutup untuk tidur seketika sebelum tiba destinasi kami ke Kuala Terengganu.

Selain cukup selesa, ia juga stabil ketika memandu di selekoh selepas ia dilengkapi sistem G-Vectoring Control.

Sistem ini secara asasnya mengawal tork enjin supaya berat badan kenderaan dapat diubah kepada keadaan yang dapat membantu cengkaman.

Ciri Keselamatan

Jika dinilai ciri keselamatannya, ia menerima pengiktirafan lima bintang oleh Euro NCAP, JNCAP Top Safety Pick+” oleh Institut Insurans untuk Keselamatan Lebuh Raya (IIHS) Amerika Syarikat selepas dilengkapi teknologi i-ACTIVSENSE Mazda seperti:

>>Klik untuk galeri gambar Mazda CX-5 SKYACTIV 2.5L

Pandangan drebar.my

Jika bertanya sama ada sesuai membeli SUV harga bermula RM160,596.70 ini, penulis boleh katakan ia sangat berbaloi dengan teknologi, prestasi dan keselesaan yang ada pada Mazda CX-5 ini.