Mazda UK baru-baru ini memperkenalkan model edisi terhad MX-5 yang dikenali sebagai Sport Venture. Walaupun tidak mempunyai sebarang naik taraf mekanikal yang mampu meningkatkan prestasinya, penambaikan kosmetik yang diberikan sekurang-kurangnya membuatkan ia kelihatan lebih menonjol berbanding versi standard.


Bahagian luaran MX-5 Sport Venture menampilkan warna Deep Crystal Blue Mica yang dipadankan dengan fabrik kelabu pada bumbung ‘convertible’, serta kemasan perak pada cermin sisi dan gelung ‘roll bar’ di belakang perehat kepala. Ia juga didatangkan dengan rim aloi berukuran 16 inci dan lampu hadapan LED.


Ruang dalaman pula dihiasi dengan upholsteri kulit ‘Light Stone’ yang membaluti tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu. Antara kelengkapan standard yang disertakan termasuklah fungsi pemanas tempat duduk, skrin sistem infotainmen tujuh inci dan sistem audio premium keluaran Bose.


MX-5 Sport Venture hanya boleh didapati dengan enjin 1.5-liter empat silinder yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan. Dengan hamburan mencecah 130bhp dan 152Nm, roadster pacuan roda belakang ini boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 8.3 saat dan seterusnya mencapai kelajuan maksimum 204km/j.


Sistem bantuan pemandu pula merangkumi ciri-ciri seperti pengenalan tanda trafik, amaran pelepasan lorong, brek kecemasan autonomi dan sistem pemantauan tekanan tayar.


Terhad kepada 160 unit sahaja
untuk pasaran United Kingdom, MX-5 Sport Venture dijual pada harga £27,615 (RM156,928) iaitu £1,260 (RM7,160) lebih tinggi berbanding varian MX-5 Sport. Ini bukan kali pertama Mazda menawarkan edisi Sport Venture untuk MX-5. Model generasi ketiga iaitu NC juga mempunyai Sport Venture dengan warna biru dan kemasan perak yang sama, cuma ia ditawarkan dalam jumlah yang lebih banyak iaitu 1,219 unit.