Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Antarabangsa

McLaren 600LT Spider Segestria Borealis Satu Lagi Edisi Terhad Keluaran MSO

Erywan 10/06/2020 | 04:00 MYT
McLaren Special Operations (MSO) memperkenalkan satu lagi model edisi terhad yang berasaskan McLaren 600LT.
Ia dikenali sebagai Segestria Borealis, bersempena dengan spesis labah-labah segestria florentina yang berasal dari Eropah. Apa yang istimewa mengenai Segestria Borealis adalah penampilannya yang unik.
Ia didatangkan dalam warna Segestria Black yang diserlahkan lagi dengan tona hijau gelap dan ungu. Jentera ini juga mempunyai jalur berwarna Napier Green yang diinspirasikan oleh taring labah-labah tersebut.
Perincian warna hijau itu juga boleh didapati pada bampar, spoiler, angkup brek, cermin sisi serta di segenap ruang kabin. Sebagai sebahagian daripada pakej MSO Clubsport, model ini turut mendapat bolt rim yang diperbuat daripada aluminium, dapra gentian karbon, tempat duduk gentian karbon serta kemasan gentian karbon untuk bahagian dalaman.
Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk sistem audio Bowers&Wilkins, sensor parkir belakang, sistem pengangkat gandar hadapan dan perekod data McLaren Track Telemetry.
Seperti 600LT Spider versi standard, Segestria Borealis menampilkan enjin twin-turbo 3.8-liter V8 yang menjana 600PS dan 620Nm.
Kehadiran transmisi automatik yang memacu roda belakang membolehkan jentera ini melakukan pecutan 0-100km/j dalam 2.9 saat dan seterusnya mencapai kelajuan maksimum 324 km/j.
Model ini terhad kepada 12 unit dan hanya ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat pada harga $275,500 (RM1.2 juta).
;