Antarabangsa
McLaren 620R Versi Kereta Lumba Yang Sah Pandu Jalan Biasa
McLaren agak sibuk dengan majlis pelancaran sejumlah model sepanjang tahun lalu. Ini termasuk Elva, GT, 600LT Spider serta Senna GTR dan ini belum mengambil kira model-model edisi khas.
Sungguhpun begitu, McLaren nampaknya masih ada produk yang mahu diperkenalkan kepada orang ramai dan mereka melancarkan sebuah lagi kereta baharu.
Dinamakan sebagai 620R, ia adalah model paling berkuasa dalam keluarga McLaren Sports Series. Jentera baharu McLaren lahir daripada model kereta lumba 570S GT4, namun 620R ini tetap sah dipandu atas jalan raya biasa.
McLaren memilih untuk menghasilkan hanya 350 unit model ini, boleh dianggap sebagai edisi terhad. Kereta baharu ini akan menggunakan enjin 3.8 liter V8 turbo berkembar yang mampu menghasilkan 611hp dan tork sekuat 620Nm.
Jika dibandingkan dengan McLaren 570 standard, model baharu ini ada tambahan kuasa sebanyak 49hp dan tork 20Nm. Ini disebabkan ada talaan semula pada ECU dan alat turbo.
Jadi, anda hanya perlukan 2.9 saat untuk pecutan 0-100 kilometer sejam (km/j). Bagi mencapai 200km/j, masa diperlukan cuma 8.1 saat. Kelajuan maksimum cuma 322km/j.
Selain itu, pasukan pembina McLaren juga menurunkan berat keseluruhan kereta ini sebanyak 31 kilogram kepada 1,282kg berbanding model 570S standard.
620R menggunakan tayar Pirelli P Zero R dengan rim 19 inci dihadapan dan 20 inci belakang. Kuasa memberhentikan jentera ini disandarkan kepada brek cakera karbon seramik 390mm di hadapan dan 380mm di belakang.
Angkup brek diperbuat daripada aluminium. Kereta ini dipasang tempat duduk karbon jenis perlumbaan dan paddle shift karbon.
McLaren menawarkan 620R dengan tiga pilihan tema luaran iaitu Onyx Black dengan jalur oren, Silica White dengan jalur oren dan McLaren Orange bersama jalur putih perlumbaan.
Pengeluaran model McLaren 620R akan bermula pada bulan depan dan harganya ialah AS$299,000 setiap satu.